Ilmuwan perlu berani pertahan kebenaran, jangan gadai integriti – Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 November – Golongan berilmu perlu berani mempertahankan kebenaran dan tidak menggadaikan integriti demi kepentingan peribadi, kedudukan mahupun ganjaran material, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ilmuwan mesti menegakkan kebenaran dan menolak kompromi integriti demi kepentingan peribadi atau ganjaran material.
  • Ilmu yang tinggi membawa tanggungjawab besar untuk memastikan fakta tidak diputarbelit dan kebenaran dipelihara.
  • Amalan ilmu perlu tercermin melalui akhlak, integriti dan kebijaksanaan dalam menangani masalah masyarakat.
  • Elakkan manipulasi angka, menyembunyikan kelemahan atau mendiamkan salah laku kerana implikasinya terhadap dasar, keselamatan dan nyawa.

Sultan Nazrin bertitah semakin tinggi ilmu seseorang, semakin besar tanggungjawab dalam memastikan kebenaran terus dipelihara dan tidak diselewengkan.

Baginda turut menekankan bahawa ilmu bukan sekadar pengiktirafan akademik, sebaliknya perlu turut diterjemahkan melalui tindakan, akhlak dan kebijaksanaan dalam menangani permasalahan masyarakat.

“Nilai keilmuan seseorang terserlah melalui akhlak, integriti dan kebijaksanaannya. Seorang ilmuwan sejati perlu berpegang kepada prinsip ‘berani kerana benar’, mengemukakan dapatan yang sahih, terbuka menerima teguran serta bersedia memperbetulkan pendirian apabila dikemukakan bukti baharu yang lebih kukuh.

“Integriti menuntut seseorang bersikap jujur terhadap fakta dan kebenaran, termasuk apabila fakta tersebut tidak selari dengan pandangan atau pendirian sendiri,” titah Baginda ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Kali ke-66 di Dewan Tunku Canselor, di sini, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah para graduan khususnya pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD) perlu memanfaatkan ilmu sebagai instrumen untuk menilai fakta, membezakan kebenaran dari kepalsuan serta membantu masyarakat membuat pertimbangan secara adil.

Baginda turut mengingatkan prinsip berani kerana benar perlu dipegang teguh terutamanya ketika menghadapi tekanan, konflik kepentingan dan arahan yang bercanggah dengan peraturan serta undang-undang.

Selain itu, Sultan Perak turut menegaskan bahawa tindakan memanipulasi angka, menyembunyikan kelemahan projek atau mendiamkan salah laku boleh memberi implikasi besar termasuk menjejaskan dasar, keselamatan dan nyawa manusia.

Dalam titah sama, Baginda turut menekankan kepentingan agar neraca keadilan ditegakkan tanpa mengira kepentingan peribadi, keluarga mahupun pihak atasan.

Sementara itu, pada Istiadat Konvokesyen UM, Sultan Perak turut menzahirkan ucapan tahniah kepada 11,842 graduan yang menerima ijazah dan diploma pada konvokesyen kali ini.

Daripada jumlah itu, seramai 771 graduan menerima PhD, 5,511 ijazah Sarjana serta Diploma Pascasiswazah Pendidikan, manakala 4,350 menerima ijazah Sarjana Muda.

Selebihnya, 1,210 graduan menerima Diploma Lanjutan, Diploma Eksekutif dan diploma.

Istiadat yang berlangsung dalam 17 sidang bermula hari ini hingga 26 November.

Pada istiadat berkenaan, empat tokoh akademik dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Mereka ialah Datuk Profesor Dr. Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff, Datuk Profesor Dr. Goh Khean Jin, Profesor Dr. Abrizah Abdullah dan Profesor Dr. Fatimah Kari.

Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga UM atas komitmen memperkukuh kedudukan universiti itu di persada antarabangsa, termasuk pencapaian di tangga ke-56 terbaik dunia dalam QS World University Rankings.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.