
MOSCOW, 17 November – Presiden Rusia, Vladimir Putin mengadakan pertemuan dengan seorang pegawai kanan Korea Utara Jo Yong Won pada Isnin, menjelang lawatan beliau ke China minggu ini, ketika Kiev mendakwa Moscow menerima peningkatan bekalan senjata dari negara itu.
- Korea Utara antara sekutu utama Rusia, menghantar tenteranya pada 2024 untuk membantu pasukan Rusia di wilayah Kursk.
- Jo Yong Won, pembantu Kim Jong Un, berada di Moscow untuk lawatan beberapa hari sebelum pertemuan Putin dengan Xi dan Trump.
- Putin mengucapkan penghargaan terhadap pengorbanan tentera Korea Utara yang berjuang bersama anggota tentera Rusia.
- Rusia merancang merasmikan monumen arca menjelang akhir tahun bagi memperingati pengorbanan bersama tentera Rusia dan Korea Utara.
Korea Utara menjadi antara sekutu utama Rusia sepanjang konflik berpanjangan di Ukraine, termasuk dengan menghantar tenteranya pada 2024 bagi membantu pasukan Rusia menentang tentera Ukraine di wilayah Kursk.
Sepanjang konflik itu, Kiev dan negara-negara Barat berulang kali mendakwa Pyongyang membekalkan senjata kepada Moscow.
Jo Yong Won yang juga pembantu kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, berada di Moscow pada Isnin untuk lawatan beberapa hari sebelum Putin dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dalam pertemuan itu, Putin mengucapkan penghargaan terhadap pengorbanan tentera Korea Utara yang berjuang bersama anggota tentera Rusia.
“Kami tidak akan melupakan keberanian tentera Korea Utara yang berjuang bersama anggota tentera Rusia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Rusia merancang untuk merasmikan sebuah monumen arca menjelang akhir tahun ini bagi memperingati “pengorbanan bersama anggota tentera Persekutuan Rusia dan Korea Utara”.
Pertemuan itu berlangsung ketika Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendakwa Rusia menerima peningkatan penghantaran peluru berpandu dari Pyongyang.- AFP