
KUALA LUMPUR, 17 November – Pelancaran Bas Unit Derma Darah baharu pada Isnin bagi menggantikan bas lama dijangka memudahkan pelaksanaan kempen pendermaan darah di lapangan, sekali gus menggalakkan penyertaan orang ramai dan memperkukuh bekalan darah di hospital sekitar Wilayah Utara.
- Bas Unit Derma Darah baharu bernilai RM485,000 disumbangkan kepada Hospital Sultanah Bahiyah oleh Yayasan Sultanah Bahiyah.
- Unit Derma Darah bergerak sedia ada diserahkan kepada Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk memperluas perkhidmatan.
- Yayasan memperuntukkan RM350,000 setahun bagi operasi program, termasuk lima bas kesihatan bergerak dan dua pusat hemodialisis.
- Majlis amal berjaya mengumpul RM800,000 daripada penderma dan rakan strategik untuk membiayai projek kesihatan.
Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz AlMarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah, bas bernilai RM485,000 itu merupakan hasil inisiatif Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dan akan diserahkan kepada Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi mempermudah aktiviti kutipan darah di seluruh kawasan perkhidmatan.
“YSB turut berbesar hati untuk melancarkan sebuah lagi Unit Derma Darah Bergerak yang baharu dengan kos RM485,000.00 bagi memperkukuh usaha memenuhi keperluan bekalan darah di hospital-hospital sekitar Wilayah Utara.
“Bas Unit Derma Darah Bergerak sedia ada pula akan diserahkan kepada Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani bagi memperluas kemudahan dan meningkatkan keupayaan aktiviti kutipan darah,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Majlis Santapan Malam Amal 2026 Sempena 30 Tahun Yayasan Sultanah Bahiyah di sebuah hotel di sini.
Dalam titah itu juga, baginda memaklumkan sejumlah RM350,000 diperuntukkan setiap tahun bagi memastikan kelancaran pelaksanaan inisiatif berkenaan sekali gus memberi manfaat kepada golongan memerlukan di negeri Kedah.
Peruntukan itu termasuk pengoperasian lima unit bas kesihatan bergerak serta dua buah pusat hemodialisis.
Pada majlis itu, YSB berjaya mengumpul sejumlah RM800,000 hasil sumbangan para penderma dan rakan strategik bagi membiayai projek-projek kesihatan anjuran yayasan berkenaan.
“Sesungguhnya, sumbangan ini amat bermakna dalam membantu kita meneruskan pelaksanaan pelbagai program dan projek kesihatan untuk manfaat masyarakat,” titah baginda.
Dalam perkembangan lain, baginda turut berkenan menyampaikan geran kepada 13 usahawan menerusi Program Pemerkasaan Pembangunan Usahawan Wanita Negeri Kedah.
Setiap usahawan menerima Geran sumbangan daripada Bank Islam Malaysia Berhad berjumlah RM5,000 menjadikan jumlah keseluruhan geran sebanyak RM65,000.
Projek kesihatan pertama YSB bermula pada tahun 1999 menerusi penyediaan sebuah bas Unit Derma Darah Bergerak pertama di Malaysia dengan kerjasama Lions Club of Alor Setar Host. dengan kejayaan mengumpulkan lebih 5,000 beg darah sepanjang tempoh perkhidmatannya.