MPM perkukuh penggunaan teknologi, percepat pembangunan sumber minyak

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 November – Penerapan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital dalam industri huluan minyak serta gas dijangka membantu meningkatkan kecekapan penerokaan selain mempercepat pembangunan sumber negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cabaran industri: pengeluaran menurun, tempoh pembangunan lebih panjang, struktur geologi kompleks dan data penerokaan terhad.
  • MPM mempertingkat penggunaan agen AI melalui platform myPROdata untuk mempercepat penilaian dan keputusan pelaburan industri huluan.
  • Mempercepat pembangunan sumber diperlukan untuk menyokong usaha PETRONAS mengekalkan pengeluaran kira-kira dua juta tong setara minyak sehari hingga 2028.
  • Industri mesti terima pendekatan baharu, tingkatkan pelaburan, kepelbagaian sumber dan daya tahan bekalan bagi hadapi ketidaktentuan global.

Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM), Datuk Ir. Dr. Bacho Pilong berkata, pendekatan berasaskan teknologi semakin penting ketika industri berdepan cabaran penyusutan pengeluaran medan sedia ada, peningkatan kos penerokaan dan tempoh pembangunan projek yang lebih panjang.

Menurut beliau, keadaan geologi yang semakin kompleks serta keterbatasan data di kawasan penerokaan baharu turut meningkatkan kesukaran mengenal pasti dan membangunkan sumber minyak dan gas.

“Pengeluaran semakin menurun, tempoh pembangunan semakin panjang dan penemuan sumber baharu semakin sukar. Apabila rizab terbukti semakin susut, aktiviti penerokaan menjadi lebih mencabar dan mahal.

“Takungan baharu berada pada kedalaman lebih tinggi, mempunyai kandungan bahan cemar yang lebih tinggi serta struktur geologi yang lebih kompleks, manakala kawasan penerokaan baharu sebahagian besarnya masih belum diterokai, dengan data terhad dan analisis geologi yang belum menyeluruh,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan dan Pameran Geosains Petroleum Asia (APGCE) 2026.

Beliau berkata, penggunaan AI dan teknologi digital termaju turut membolehkan maklumat geologi, geofizik serta kejuruteraan dianalisis secara lebih menyeluruh bagi menyokong penilaian prospek penerokaan dan peluang pembangunan.

Sehubungan itu, MPM sedang mempertingkat penggunaan AI agentik menerusi platform myPROdata bagi membantu pelabur serta pemain industri membuat penilaian dan keputusan pelaburan dengan lebih pantas.

Inisiatif itu juga bertujuan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan sektor huluan minyak dan gas serta memendekkan tempoh daripada penemuan sumber kepada pengeluaran hidrokarbon pertama.

Dalam pada itu, Datuk Ir. Dr. Bacho Pilong berkata, usaha mempercepat pembangunan sumber penting bagi menyokong aspirasi PETRONAS mengekalkan pengeluaran minyak dan gas Malaysia pada kira-kira dua juta tong setara minyak sehari (mmboe/d) sehingga 2028.

Sasaran berkenaan disokong pelaburan berterusan dalam penerokaan, pembangunan laut dalam dan peningkatan perolehan minyak (EOR).

Menurut beliau, industri perlu menerima pakai pendekatan baharu bagi meningkatkan kecekapan penerokaan, mempercepat pembangunan projek serta mengoptimumkan pengeluaran sumber yang semakin mencabar untuk dibangunkan.

“Bagi industri kita, ini bermakna kita tidak boleh terus bergantung pada pendekatan lama untuk menyelesaikan cabaran masa hadapan. Seiring dengan perubahan landskap industri, kita juga perlu berubah,” katanya.

Mengulas prospek permintaan tenaga, beliau berkata peningkatan penggunaan tenaga khususnya di Asia dijangka menyediakan peluang pertumbuhan kepada industri minyak dan gas, namun memerlukan pelaburan berterusan serta daya tahan bekalan yang lebih kukuh.

“Permintaan tenaga terus meningkat. Pada 2025 sahaja, ekonomi sedang membangun menyumbang kira-kira 80 peratus daripada peningkatan penggunaan elektrik dunia. Permintaan itu sudah wujud dan akan terus berkembang,” katanya.

Beliau berkata, keperluan bekalan tenaga pada masa hadapan turut menuntut penyampaian yang lebih pantas, mampu milik dan selamat, selain pengurangan pelepasan karbon secara berperingkat.

Merujuk unjuran S&P Global yang dibentangkan pada sidang kemuncak Persatuan Pengeluar Minyak dan Gas Antarabangsa (IOGP) sebelum ini, katanya, antara enam juta hingga 14 juta tong bekalan minyak sehari perlu disumbangkan oleh penemuan baharu yang belum dikenal pasti mulai sekitar 2030 bagi memenuhi permintaan masa depan.

Keadaan itu mengukuhkan keperluan mempercepat aktiviti penerokaan dan pembangunan, khususnya ketika sumber sedia ada semakin susut dan penemuan baharu semakin mencabar.

Selain itu, keselamatan tenaga perlu diperkukuh menerusi kepelbagaian sumber dan daya tahan bekalan bagi menghadapi cabaran global termasuk ketidaktentuan geopolitik, gangguan bekalan serta perubahan landskap peralihan tenaga.

Dalam perkembangan berkaitan, MPM akan menerbitkan edisi terbaharu buku Petroleum Geology of Malaysia pada 2027, sebagai kemas kini kepada buku rujukan Petroleum Geology and Resources of Malaysia yang diterbitkan pada 1998, dengan mengambil kira penemuan dan pemahaman baharu mengenai lembangan petroleum negara.

APGCE 2026 yang berlangsung selama dua hari membawa tema “Geoscience Across Life of Field: From First Discovery to Last Recovery” dan menghimpunkan kira-kira 2,000 peserta termasuk pemimpin industri, golongan profesional, penyedia teknologi serta ahli akademik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.