Jerebu rentas sempadan: Probowo mohon maaf kepada Malaysia, Singapura

Foto AFP

JAKARTA, 16 November -Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura berhubung jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan yang melanda beberapa wilayah di negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran memusnahkan kira-kira 2.88 juta hektar hutan tahun ini menurut pemantau Nusantara Atlas.
  • Penyelidik kaitkan kebakaran dengan El Nino kuat, perubahan iklim, pembasmian hutan dan pengeringan tanah gambut untuk perlombongan serta perladangan.
  • Kerajaan membatalkan 17 konsesi syarikat berkaitan kebakaran, manakala 26 konsesi lagi sedang disiasat.
  • Sebanyak 71,000 anggota dikerah memadam, dengan 16 anggota bomba terkorban dan dua helikopter hilang.

Kebakaran yang berlarutan selama beberapa bulan di pulau Borneo, Sumatera dan Papua memusnahkan kawasan hutan yang luas, selain menyebabkan pencemaran udara sehingga menjejaskan ratusan ribu penduduk Indonesia serta merebak ke negara jiran.

Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN di Manila pada Ahad, Prabowo berkata, kebakaran itu bukan berpunca daripada kesalahan Indonesia, namun kerajaan sudah melakukan segala usaha untuk menanganinya.

Bagaimanapun, beliau menyampaikan permohonan maaf bagi pihak kerajaan dan rakyat Indonesia sekiranya kejadian itu menyebabkan penderitaan kepada penduduk Malaysia dan Singapura.

“Atas nama kerajaan Indonesia dan rakyat Indonesia, kami memohon maaf sekiranya kami menyebabkan penderitaan kepada rakyat Singapura dan Malaysia,” katanya menurut rakaman sesi pleno yang dikeluarkan Sekretariat Presiden.

Menurut pemantau pembasmian hutan Nusantara Atlas, kebakaran hutan di Indonesia setakat tahun ini memusnahkan kira-kira 2.88 juta hektar kawasan, bersamaan 18 kali keluasan London.

Penyelidik mengaitkan keadaan itu dengan fenomena cuaca El Nino yang kuat, perubahan iklim, pembasmian hutan serta pengeringan tanah gambut untuk kegiatan perlombongan dan perladangan.

Prabowo berkata, pihak berkuasa Indonesia sudah membatalkan 17 konsesi tanah milik syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran berkenaan, manakala 26 lagi sedang disiasat.

Beliau berkata, seramai 71,000 anggota turut dikerahkan bagi memadamkan kebakaran, dengan operasi itu mengorbankan 16 anggota bomba serta kehilangan dua helikopter. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.