
PRAIA, 16 November – Presiden Cape Verde, Jose Maria Neves dipilih semula buat penggal kedua selepas memperoleh 63.8 peratus undi berdasarkan keputusan sementara Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu pada Ahad.
- Jose Maria Neves merupakan bekas Perdana Menteri (2001-2016) dan pernah dipilih sebagai presiden pada 2021.
- Kemenangan Neves disokong Parti PAICV yang juga memenangi pilihan raya parlimen pada Mei lalu.
- Cape Verde terkenal kestabilan politik dan tadbir urus tinggi, tetapi masih hadapi jurang sosial, kos sara hidup dan pengangguran belia.
Neves menewaskan beberapa pencabar termasuk Joana Rosa Amado, calon wanita pertama yang bertanding dalam pilihan raya presiden negara kepulauan Afrika Barat itu.
Hampir 420,000 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam pilihan raya berkenaan, yang turut dipantau kira-kira 150 pemerhati daripada Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS), Kesatuan Afrika (AU) dan Kesatuan Eropah (EU).
Neves sebelum ini dipilih sebagai presiden pada 2021. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 2001 hingga 2016 serta memegang jawatan dalam Parti Afrika bagi Kemerdekaan Cape Verde (PAICV).
Kemenangan itu turut disokong PAICV yang memenangi pilihan raya parlimen pada Mei lalu.
Cape Verde yang terletak di Lautan Atlantik, kira-kira 600 kilometer dari pantai Senegal, terdiri daripada 10 pulau gunung berapi dan terkenal sebagai destinasi pelancongan.
Negara itu turut dikenali dengan kestabilan politik dan sistem tadbir urusnya. Indeks tadbir urus global Yayasan Mo Ibrahim 2026 meletakkan Cape Verde di tempat ketiga daripada 54 negara di Afrika.
Bagaimanapun, negara itu masih berdepan cabaran termasuk jurang sosial, kos sara hidup yang meningkat, harga bahan api dan pengangguran belia.
Bank Dunia pada Julai lalu mengklasifikasikan Cape Verde sebagai negara berpendapatan menengah atas berikutan pertumbuhan ekonomi yang didorong sektor pelancongan. – AFP