MBSB Research kekalkan saranan beli YTL Power

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 November – MBSB Research mengekalkan saranan beli terhadap YTL Power International Bhd dengan harga sasaran RM5.98 sesaham, selain mengekalkan pandangan positif terhadap prospek pelaburan pusat data di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jabatan Perdagangan AS sedang memuktamadkan peraturan yang mengehadkan akses syarikat AI China kepada cip AI termaju NVIDIA di pusat data luar negara.
  • Cadangan kawal selia boleh menjejaskan pengendali pusat data dengan pendedahan besar kepada pelanggan China, terutama penyedia pengkomputeran berasaskan GPU.
  • Sekatan lebih ketat berpotensi menjejaskan pelaksanaan projek dan perancangan pelaburan sektor pusat data AI.
  • YTL Power berdepan dakwaan Culper kaitkan pusat data Johor dengan Megaspeed dan Alibaba; MBSB anggap reaksi berlebihan dan kekal positif terhadap prospek pusat data Malaysia.

Firma penyelidikan itu berkata, Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang memuktamadkan peraturan bagi mengehadkan akses syarikat kecerdasan buatan (AI) China kepada cip AI termaju keluaran NVIDIA yang ditempatkan di pusat data luar negara.

Menurutnya, cadangan kawal selia itu berpotensi memberi kesan kepada pengendali pusat data yang mempunyai pendedahan besar kepada pelanggan dari China, khususnya penyedia perkhidmatan pengkomputeran berasaskan unit pemprosesan grafik (GPU).

Sekiranya sekatan diperketatkan, langkah itu berpotensi menjejaskan pelaksanaan projek serta perancangan pelaburan dalam sektor pusat data AI.

Di Malaysia, YTL Power turut berdepan tekanan pasaran susulan dakwaan firma penyelidikan Culper Research yang mengaitkan operasi pusat data AI syarikat itu di Johor dengan Megaspeed International, selain mendakwa Alibaba sebagai pelanggan akhirnya.

Bagaimanapun, MBSB Research berpandangan reaksi pasaran terhadap perkembangan berkenaan adalah berlebihan.

MBSB Research turut mengekalkan pandangan positif terhadap prospek pelaburan pusat data di Malaysia, khususnya dalam sektor pembinaan dan utiliti serta subsektor tenaga boleh baharu dan mekanikal, elektrikal serta paip (MEP).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.