PRN Melaka: Menang dua pertiga, BN dan PN bentuk kerajaan negeri

cdc
Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (lima, kiri) bersama ADUN Tanjung Bidara Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh (empat, kiri)/Foto BERNAMA

MELAKA, 14 November – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dengan majoriti dua pertiga sekali gus mengekalkan penguasaan politik mereka di negeri bersejarah itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • BN mengekalkan 21 daripada 28 kerusi DUN yang dimenangi pada PRN 2021.
  • PN secara rasmi memenangi satu kerusi, iaitu Bemban.
  • PH mengekalkan empat kerusi: Ayer Keroh, Kesidang, Bandar Hilir dan Kota Laksamana.
  • BN dan PN sepakat mencalonkan ADUN Tanjung Bidara Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh; beliau akan angkat sumpah esok.

BN mengekalkan kemenangan parti itu di 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya pada PRN 2021 manakala PN, setakat 10.45 malam ini, secara rasmi memenangi satu kerusi.

Kerusi dimenangi BN ialah Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai manakala PN menang di Bemban.

Pakatan Harapan (PH) pula mengekalkan empat kerusi yang dimenangi sebelum ini, iaitu di Ayer Keroh, Kesidang, Bandar Hilir dan Kota Laksamana.

Empat calon DAP (dari kiri), Leng Chau Yen (Bandar Hilir), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh) dan Low Chee Leong (Kota Laksamana)/Foto BERNAMA

Parti Bersama Malaysia, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan tiga calon Bebas pula gagal memenangi sebarang kerusi.

PRN kali ini menyaksikan sebanyak 79 calon daripada pelbagai parti politik dan Bebas bersaing merebut 28 kerusi DUN, dengan PH meletakkan calon paling ramai, iaitu 24 orang diikuti BN (23), Parti Bersama Malaysia (16), Bersatu (tujuh), PN (lima), Putra (satu) dan Bebas (tiga).

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari dalam sidang akhbar susulan keputusan PRN itu berkata gabungan berkenaan menerima dengan hati terbuka keputusan tersebut dan menghormati mandat rakyat meskipun hanya memenangi empat daripada 24 kerusi DUN yang ditandingi.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata BN dan PN sepakat mencalonkan Ahli DUN (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka.

Ab Rauf dijadual mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Seri Negeri, esok.

DUN Melaka dibubarkan pada 23 Sept lepas dan SPR menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, undi awal pada 10 November manakala pengundian pada hari ini.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.