
KUALA LUMPUR, 14 November –Seramai 96,844 warga asing ditangkap atas pelbagai kesalahan bagi tempoh 2024 hingga September tahun ini.
- Peningkatan tangkapan antara 2024 dan 2025 sebanyak 3,604 kes atau 10.9 peratus.
- 26,968 tangkapan direkodkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
- Polis tegas tanpa kompromi, mempergiat operasi bersepadu dan perkongsian risikan; masyarakat diminta bekerjasama menyalurkan maklumat.
Daripada jumlah itu, sebanyak 33,136 tangkapan direkodkan pada 2024, sebelum meningkat kepada 36,740 tangkapan pada tahun 2025.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, peningkatan itu bersamaan 3,604 tangkapan atau 10.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak 26,968 tangkapan warga asing direkodkan.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana warga asing yang melakukan jenayah atau melanggar undang-undang negara.
“Tindakan penguatkuasaan tegas akan terus dipergiat menerusi operasi bersepadu dan perkongsian risikan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa setiap individu, tanpa mengira status, kedudukan atau kewarganegaraan, tertakluk kepada undang-undang negara.
Sehubungan itu, masyarakat diseru agar terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah.
Kerjasama itu penting bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah, sekali gus memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.