
KUALA LUMPUR, 14 November – Seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penemuan sebuah beg bagasi mencurigakan di hentian bas di hadapan KLCC, Jalan Ampang, malam tadi.
- Unit Pemusnah Bom, Unit K9 dan Forensik hadir, mengesahkan tiada ancaman bom dalam bagasi.
- Polis menerima maklumat awal pada pukul 7.17 malam, 13 November mengenai penemuan bagasi mencurigakan.
- Orang ramai dinasihat tidak menular spekulasi dan diminta salur maklumat ke Hotline Polis Kuala Lumpur atau IPD Dang Wangi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Ahmad Azwan Amin Nordin, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung penemuan bagasi berkenaan pada pukul 7.17 malam, pada 13 November.
“Sepasukan Unit Pemusnah Bom(UPB), Unit K9 dan Forensik Polis Kuala Lumpur telah hadir ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan dan mengesahkan tiada sebarang ancaman bom dalam bagasi tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu,orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian berkenaan bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 032146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau balai polis berhampiran.