Pergerakan Najib hampir lapan jam ikut SOP tahanan rumah

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 14 November – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada di luar kediamannya selama hampir lapan jam bagi menjalani empat urusan yang telah ditetapkan, termasuk pemeriksaan kesihatan, aktiviti keagamaan dan sesi kaunseling.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pergerakan beliau direkodkan bermula 10.25 pagi hingga 6.25 petang, bukan hanya untuk menunaikan solat Jumaat.
  • Menghadiri temu janji pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur, rawatan susulan di Jabatan Ortopedik.
  • Menunaikan solat Jumaat di Masjid Penjara Kajang dan mengikuti sesi pengajian al-Quran bersama ustaz JAKIM.
  • Menghadiri sesi kaunseling dengan Pegawai Psikologi Penjara Kajang dan pergerakan tertakluk kepada SOP serta kawalan Jabatan Penjara.

Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, pergerakan beliau bermula pada 10.25 pagi hingga 6.25 petang dan bukan hanya untuk menunaikan solat Jumaat seperti yang dilaporkan media.

“Sepanjang tempoh berkenaan, beliau telah menjalani beberapa urusan yang telah ditetapkan, iaitu menghadiri temu janji pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan susulan di Jabatan Ortopedik,” menurut kenyataan itu.

Selain pemeriksaan kesihatan, Najib turut menunaikan solat Jumaat di Masjid Penjara Kajang, mengikuti sesi pengajian al-Quran bersama ustaz daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta menghadiri sesi kaunseling bersama Pegawai Psikologi Penjara Kajang.

Beliau dibawa pulang dari Penjara Kajang pada 5.50 petang sebelum tiba di kediamannya di Jalan Langgak Duta pada 6.25 petang.

“Setiap pergerakan beliau dilaksanakan berdasarkan urusan dan keperluan yang telah ditetapkan serta tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP), syarat-syarat tahanan rumah dan kawalan serta seliaan pihak Jabatan Penjara Malaysia,” menurut kenyatan sama.

Jabatan Penjara Malaysia turut menjelaskan bahawa aktiviti keagamaan, rawatan kesihatan serta program pemulihan dan intervensi merupakan antara aspek yang diberikan perhatian dalam pengurusan individu yang sedang menjalani hukuman.

Jabatan itu menegaskan komitmen untuk memastikan segala urusan berkaitan dilaksanakan secara teratur, profesional dan mematuhi ketetapan yang berkuat kuasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.