
SHAH ALAM, 13 November – Kerajaan Negeri Selangor membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM3.3 bilion bagi membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri, tahun depan.
- Peruntukan RM1.9 bilion 57.6 peratus untuk perbelanjaan mengurus; RM1.4 bilion 42.4 peratus untuk pembangunan.
- Anggaran hasil 2027 RM2.85 bilion; premium tanah RM1.112 bilion atau 39 peratus penyumbang terbesar.
- Rizab Kumpulan Wang Disatukan meningkat kepada RM5.121 bilion; negeri catat lebihan kewangan RM422.40 juta.
- Bantuan Khas Kewangan Kita Selangor 2026 dua bulan gaji, minimum RM1,000; peruntukan RM100.31 juta, bayaran mula 21 Disember.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, RM1.9 bilion atau 57.6 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM1.4 bilion atau 42.4 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.
“Demi menangani pelbagai cabaran semasa dengan lebih tangkas, pentadbiran ini mencadangkan Belanjawan Selangor 2027 dengan peruntukan sebanyak RM3.3 bilion.
“Ia merangkumi RM1.9 bilion bersamaan 57.6 peratus untuk Perbelanjaan Mengurus, manakala RM1.4 bilion bersamaan 42.4 peratus untuk Perbelanjaan Pembangunan,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Bagi 2027, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM2.85 bilion, dengan premium tanah dijangka menjadi penyumbang terbesar sebanyak RM1.112 bilion atau 39 peratus daripada keseluruhan anggaran hasil.
Cukai tanah pula diunjurkan menyumbang RM653.82 juta atau 23 peratus, manakala pemberian Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak RM292.70 juta atau 10 peratus.
Mengulas kedudukan kewangan negeri, Datuk Seri Amirudin berkata rizab Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Selangor meningkat kepada RM5.121 bilion setakat 11 November 2026, berbanding RM4.736 bilion pada 31 Disember 2025.
Daripada jumlah rizab terkini itu, sebanyak RM1.713 bilion berada dalam Akaun Hasil Disatukan, manakala RM3.408 bilion lagi dalam Akaun Amanah Disatukan.
Menurut beliau, prestasi kewangan kerajaan negeri turut mencatatkan lebihan sebanyak RM422.40 juta setakat 11 November 2026, hasil pendekatan perbelanjaan berhemah.
Dalam perkembangan sama, kutipan hasil negeri bagi 2026 telah melepasi sasaran apabila merekodkan RM2.957 bilion setakat 11 November lalu.
Daripada jumlah itu, hasil cukai menyumbang RM767.30 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM1.912 bilion, manakala terimaan bukan hasil berjumlah RM277.34 juta.
Belanjawan bertemakan ‘Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ itu akan digerakkan menerusi lima tonggak utama.
Lima tonggak berkenaan merangkumi ketangkasan menangani perubahan iklim dan merekayasa pembangunan prasarana; memartabat kesejahteraan rakyat; kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi negeri Selangor; memperkasa pendidikan sepanjang hayat serta membina generasi progresif; dan pemantapan khidmat rakyat.
Sementara itu, kerajaan negeri turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Kita Selangor 2026 sebanyak dua bulan gaji atau elaun, dengan bayaran minimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri.
Datuk Seri Amirudin berkata, bantuan berkenaan merupakan penghargaan kerajaan negeri terhadap khidmat dan komitmen penjawat awam dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus diperkukuh.
Bantuan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM100.31 juta dan dijadualkan mula dibayar pada 21 Disember ini.