
SHAH ALAM, 13 November – Keputusan anggota polis untuk melepaskan tembakan ketika berdepan ancaman bergantung kepada penilaian situasi sebenar di lokasi kejadian, termasuk faktor keselamatan orang awam dan keadaan persekitaran.
- PDRM mempunyai SOP, namun keputusan akhir tindakan terletak pada pertimbangan dan keupayaan anggota.
- Faktor perlu dipertimbangkan termasuk ruang pergerakan sempit, struktur kawasan dan kehadiran orang awam yang terdedah.
- Siasatan mendapati suspek dipercayai ada masalah kesihatan mental; lebih 20 saksi telah dirakam membantu siasatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sebagai panduan, keputusan akhir tetap bergantung kepada pertimbangan anggota berdasarkan keadaan yang dihadapi.
Beliau berkata, antara faktor yang perlu dipertimbangkan termasuk ruang pergerakan yang sempit, struktur kawasan serta kehadiran orang awam yang boleh terdedah kepada risiko sekiranya tembakan dilepaskan.
“Walau bagaimanapun, keputusan akhir bagi setiap tindakan terletak pada individu itu sendiri, berdasarkan kemampuan dan keupayaannya untuk melaksanakan tindakan tersebut mengikut kaedah yang telah diajarkan serta SOP yang telah ditetapkan,” jelasnya pada sidang media mengulas berkenaan insiden anggota polis ditetak warga asing di Kepong baru-baru ini.
Menurut beliau lagi, PDRM turut melaksanakan latihan dalam perkhidmatan secara berkala bagi memastikan anggota sentiasa bersedia menghadapi pelbagai situasi kecemasan.
Dalam perkembangan berkaitan, siasatan awal mendapati suspek yang maut dalam insiden berkenaan dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh seorang kenalannya.
“Pihak Jabatan Siasatan Jenayah sedang menjalankan siasatan di rumah si mati bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut.
“Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh melalui laporan polis yang dibuat oleh salah seorang kenalan si mati, suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan telah bertindak mengamuk di premis kediaman berkenaan,” jelasnya.
Katanya, suspek dipercayai pernah bertindak mengamuk di premis kediaman berkenaan, namun punca sebenar tindakannya, termasuk faktor yang mungkin mempengaruhi keadaan mentalnya, masih dalam siasatan.
Setakat ini, lebih 20 saksi termasuk jiran, penghuni sekitar kawasan kediaman dan kenalan suspek telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.