
KUALA DUNGUN, 13 November – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menyita hampir 1,500 liter minyak diesel yang disyaki disimpan tanpa kebenaran di dalam tangki polikarbonat menerusi Op Tiris.
- Aktiviti penyimpanan bahan api dijalankan di tingkat atas premis perkakasan, disyaki melibatkan penyalahgunaan fleet card atau Skim Kawalan Diesel Bersubsidi.
- Pemilik premis gagal mengemukakan kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan untuk menjalankan aktiviti berkenaan.
- Pihak berkuasa merampas peralatan storan dan dua unit pam minyak, nilai rampasan dianggarkan RM7,605.
- Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961; Op Tiris sejak Januari rekod 33 kes, rampasan bernilai lebih RM612,000 dan 14 tangkapan.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat dalam kenyataan memaklumkan, kesalahan itu dipercayai dilakukan dua individu warganegara di sebuah premis perkakasan di Dungun sejak lebih tujuh tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati aktiviti penyimpanan minyak diesel berkenaan dilakukan di tingkat atas premis terbabit. Kemungkinan berlaku penyalahgunaan fleet card atau Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dalam urusan perolehan bahan api tersebut.
“KPDN sedang meneliti kemungkinan berlakunya penyalahgunaan fleet card atau di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi dalam urusan perolehan minyak diesel berkenaan,” katanya ketika ditemui RTM di sebuah premis perkakasan di sini.
Pemilik premis turut gagal mengemukakan dokumen kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan bagi menjalankan aktiviti berkenaan.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas enam tangki polikarbonat dan dua unit pam minyak diesel, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM7,605.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Pelaksanaan Op Tiris di Terengganu sejak Januari lalu merekodkan sebanyak 33 kes, membabitkan rampasan barang kawalan bernilai lebih RM612,000 serta 14 tangkapan.