
SHAH ALAM, 13 November – Kegiatan dua sindiket penipuan dalam talian yang berselindung di sebalik operasi pusat khidmat pelanggan tumpas, selepas polis menahan 11 individu menerusi dua serbuan berasingan di Kajang dan Klang, awal bulan ini.
- Sindiket jalankan penipuan pelaburan dan 'love scam', mensasarkan mangsa warga asing melalui panggilan telefon dan komunikasi dalam talian.
- Serbuan JSJK di Sungai Long, Kajang dan Taman Aman Perdana, Klang pada 3 dan 10 November membawa kepada penahanan suspek.
- Polis merampas telefon, komputer riba, iPad, penghala dan barang lain; rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM20,000.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kedua-dua sindiket terbabit dipercayai menjalankan kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud dan penipuan percintaan atau ‘love scam’ dengan menyasarkan mangsa warga asing.
Menurutnya, serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPK Selangor dan IPD Klang Utara pada 3 dan 10 November lalu, dilakukan di Sungai Long, Kajang serta Taman Aman Perdana, Klang.
Operasi berkenaan membawa kepada penahanan kesemua suspek berkenaan, berusia antara 22 hingga 45 tahun, terdiri daripada seorang lelaki tempatan, tujuh lelaki dan tiga wanita warga asing.
“Modus operandi kedua-dua kumpulan ini adalah melalui platform dalam talian, dengan aktiviti yang melibatkan penipuan pelaburan dan love scam. Segala aktiviti mereka dijalankan menerusi panggilan telefon serta komunikasi dalam talian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Siasatan awal mendapati kedua-dua sindiket dipercayai aktif sejak September lalu dengan menjadikan rumah teres yang disewa sebagai pusat operasi.
Polis turut merampas 14 telefon bimbit, enam komputer riba, sebuah komputer, sebuah iPad, tiga buku nota, dua penghala internet serta dua set kunci rumah yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM20,000.
Mengulas tindakan terhadap suspek, Datuk Shazeli berkata, dua suspek bukan warganegara yang ditahan dalam operasi di Kajang telah dituduh mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan masing-masing menjelaskan denda RM2,000.
Tiga lagi individu yang ditahan dalam operasi sama pula dijadikan saksi pendakwaan.
Sementara itu, enam suspek yang ditahan dalam operasi di Klang masih direman sehingga 14 November bagi membantu siasatan.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
Menurut Datuk Shazeli, jumlah kerugian akibat kegiatan kedua-dua sindiket masih dalam siasatan memandangkan sasaran mereka adalah mangsa yang berada di luar negara.