Menyamar pengawal pengiring rapat Raja Muda Selangor: Dua suspek didakwa

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar/ BERNAMA

SHAH ALAM, 13 November – Dua individu yang didakwa menyamar sebagai pengawal pengiring rapat Raja Muda Selangor bagi memperdaya mangsa dalam urusan penjualan kenderaan dan rumah, telah dihadapkan ke mahkamah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek didakwa di Mahkamah Majistret Klang di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
  • Sebanyak 17 kertas siasatan di Selangor telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
  • Siasatan awal mengenal pasti 27 kes bernilai kira-kira RM1.4 juta, dengan 17 kes direkodkan di Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kedua-dua suspek turut dipercayai menggunakan gambar Raja Muda Selangor sebagai sebahagian daripada modus operandi untuk meyakinkan mangsa.

“Pada pagi ini, 13 haribulan, kedua-dua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang dan dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 109 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek sebelum ini turut didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam.

“Sebanyak 17 kertas siasatan dibuka di Selangor dan telah dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut

“Bagaimanapun, pihak kami masih menunggu maklum balas pihak pendakwaan berhubung tindakan lanjut bagi baki 15 kes yang disiasat,” katanya.

Mengulas jumlah kerugian, Datuk Shazeli berkata, siasatan awal mengenal pasti 27 kes membabitkan beberapa negeri dengan nilai kerugian keseluruhan dianggarkan RM1.4 juta.

Daripada jumlah itu, 17 kes direkodkan di Selangor.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membantu polis melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.