
PUTRAJAYA, 13 November – Anggota polis yang putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di Kepong baru-baru ini, kini menunjukkan perkembangan positif apabila mampu menggerakkan beberapa jari pada tangan yang cedera.
- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan perkembangan itu disampaikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkelfy Ahmad dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
- Jemaah Menteri menyatakan pakar pembedahan Hospital Kuala Lumpur berjaya melaksanakan pembedahan ke atas anggota terbabit.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan terhadap kejadian serangan tersebut.
- Mangsa, Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy, putus pergelangan tangan kanan selepas diserang lelaki warga asing bersenjatakan parang di Desa Aman Puri, Kepong.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkembangan itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkelfy Ahmad dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa pakar pembedahan di HKL telah berjaya melaksanakan tugas ini, dan anggota polis tersebut menunjukkan perkembangan yang positif dengan keupayaan menggerakkan beberapa jari dari tangan yang terkesan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Datuk Seri Fahmi berkata insiden serangan tersebut turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melahirkan kebimbangan terhadap kejadian itu.
Terdahulu, Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.