
KUALA LUMPUR, 13 November – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan menerima laporan rasmi daripada Kuching City FC dan Selangor FC berhubung insiden kekecohan ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Taha Ariffin, Kuching, Ahad lalu.
- Laporan akan diteliti bersama laporan MFL, dokumen dan bukti sebelum sebarang tindakan diputuskan.
- MFL menyerahkan maklumat komisioner, koordinator perlawanan, pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan kepada FAM.
- FAM memandang serius kerana membabitkan keselamatan pemain dan pegawai serta imej bola sepak; keputusan oleh Jawatankuasa Tatatertib selepas menilai bukti.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menerusi satu kenyataan berkata, laporan kedua-dua kelab itu akan diteliti bersama laporan rasmi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), termasuk dokumen dan bukti berkaitan sebelum sebarang tindakan diputuskan.
Menurut beliau, MFL telah menyerahkan maklumat daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil serta Ketua Pegawai Medan kepada FAM pada 10 November lalu.
FAM memandang serius insiden berkenaan kerana ia membabitkan aspek keselamatan pemain dan pegawai, selain berpotensi menjejaskan imej bola sepak negara.
Sebarang keputusan atau hukuman hanya akan ditentukan selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM bermesyuarat dan meneliti keseluruhan laporan serta bukti mengikut peraturan dan prosedur tatatertib yang berkuat kuasa.