
KUALA LUMPUR, 13 November – Sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 11 peratus tahun ke tahun kepada RM732.5 bilion pada suku ketiga 2026, manakala Indeks Volum Perkhidmatan meningkat 5.9 peratus kepada 174.3 mata.
- Prestasi didorong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah dan aktiviti berkaitan pelancongan yang berterusan.
- Segmen perdagangan borong, runcit, makanan dan penginapan merekodkan pertumbuhan hasil tertinggi, disokong perbelanjaan isi rumah dan pelancongan.
- Perkembangan e-dagang tingkatkan permintaan perkhidmatan penghantaran ekspres; jumlah pekerja sektor dan gaji serta upah turut meningkat.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, prestasi itu didorong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah dan aktiviti berkaitan pelancongan yang berterusan.
Prestasi itu juga didorong dengan penganjuran pelbagai acara utama termasuk MAHA 2026, Pameran MATTA, SUKMA 2026 dan Citrawarna 2026.
“Daripada empat segmen, segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan mencatatkan pertumbuhan hasil tahun ke tahun tertinggi, iaitu 11.6 peratus kepada RM554.7 bilion.
“Prestasi itu disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan aktiviti berkaitan pelancongan yang berterusan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan merekodkan pertumbuhan 9.7 peratus kepada RM102.2 bilion.
Angka itu sejajar peluasan perkhidmatan pusat data dan pengkomputeran awan serta peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan logistik.
Dalam segmen berkenaan, subsektor pengangkutan dan penyimpanan merekodkan peningkatan hasil 9.2 peratus tahun ke tahun, dengan perkhidmatan pos dan kurier meningkat 11.5 peratus, manakala pengangkutan darat berkembang 10.9 peratus.
Dalam masa sama, segmen perkhidmatan profesional, hartanah dan perkhidmatan pentadbiran dan sokongan pula berkembang 7.8 peratus.
Manakala segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta, kesenian, hiburan dan rekreasi serta perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti mencatatkan pertumbuhan 8.9 peratus.
Jelas DOSM, perkembangan e-dagang terus mendorong permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran ekspres, khususnya ketika cuti persekolahan dan penganjuran acara berskala nasional.
Dari segi guna tenaga, jumlah pekerja dalam sektor perkhidmatan bertambah 2.2 peratus kepada 4.7 juta orang, manakala jumlah gaji dan upah meningkat 4.6 peratus kepada RM36.1 bilion.