Badminton: Aaron-Roy King cipta kejutan

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 12 November – Gandingan baharu beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King meneruskan kemaraan cemerlang apabila menempah slot ke suku akhir kejohanan badminton Masters Kumamoto di Jepun, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aaron-Roy King mencipta kejutan menyingkirkan rakan senegara pilihan keempat Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, 21-14, 21-15.
  • Kemenangan mengekalkan momentum positif selepas menjuarai Terbuka Artik di Finland bulan lalu.
  • Beregu campuran Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing tumbang kepada Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 12-21, 19-21; rekod tanpa kemenangan tiga pertemuan.

Lebih manis, pasangan itu mencipta kejutan dengan menyingkirkan rakan senegara yang juga pilihan keempat kejohanan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menerusi kemenangan dua set 21-14, 21-15.

Aaron-Roy King hanya mengambil masa 28 minit untuk menamatkan cabaran Sze Fei-Izzuddin dalam pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan berkenaan.

Kemenangan itu turut menyaksikan momentum positif gandingan baharu negara terus terpelihara selepas kejayaan mereka menjuarai Terbuka Artik di Finland bulan lalu.

Sebaliknya, kekalahan itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin gagal mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir kejohanan berkenaan seperti yang dilakukan pada edisi tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, kem beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing gagal meneruskan cabaran apabila tersingkir pada pusingan kedua.

Pasangan ranking ke-14 dunia itu tewas kepada gandingan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 12-21, 19-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 32 minit.

Pang Ron-Pei Jing sebenarnya berpeluang memaksa set penentuan selepas mendahului 11-6 sebelum kembali menguasai permainan dengan kelebihan 19-17 pada penghujung set kedua.

Bagaimanapun, kebangkitan empat mata berturut-turut pasangan China itu memadamkan kelebihan berkenaan sekali gus menamatkan perjuangan wakil negara.

Keputusan itu turut menyaksikan Pang Ron-Pei Jing meneruskan rekod tanpa kemenangan dalam tiga pertemuan menentang Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, selepas turut tewas kepada pasangan sama pada Terbuka Macau dan Terbuka Korea sebelum ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.