18 kategori karate dipertandingkan di Sukan SEA 2027

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 11 November – Sebanyak 18 kategori sah dipertandingkan dalam sukan karate pada temasya Sukan SEA Malaysia dari 18 hingga 29 Sept 2027, termasuk kumite berpasukan campuran yang julung kali diperkenalkan pada temasya dwitahunan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wakil negara ASEAN bersetuju secara konsensus dengan penstrukturan kategori yang dicadangkan Malaysia.
  • SEAKF menekankan ketelusan dan keseimbangan agar tiada pasukan mendapat kelebihan tidak adil.
  • Kejohanan SEAKF di ibu negara April depan akan menjadi ujian rintis bagi kategori baharu.
  • Mesyuarat meluluskan penubuhan Akademi SEAKF di Melaka tahun hadapan dengan penglibatan 11 negara anggota.

Presiden Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata ketetapan itu dicapai secara konsensus selepas kesemua wakil negara ASEAN yang hadir bersetuju dengan penstrukturan kategori yang dicadangkan oleh Malaysia.

“Kita telah membincangkan keseluruhan kategori yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA Malaysia. Semua wakil ASEAN bersetuju dengan kategori yang dicadangkan, termasuk kumite berpasukan campuran yang merupakan kategori baharu diluluskan oleh Persekutuan Karate Dunia (WKF) tetapi belum pernah dipertandingkan dalam mana-mana kejohanan sebelum ini.

“Kita mahu bersikap telus terhadap semua negara dan tidak mahu memberikan kelebihan kepada pasukan Malaysia sahaja. Wakil negara lain juga dimaklumkan mengenai perbincangan hari ini yang melibatkan 18 kategori dipertandingkan. Ini menunjukkan bahawa pendekatan yang diambil adalah adil kepada semua negara,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SEAKF di sini hari ini.

Beliau yang juga Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) berkata Kejohanan SEAKF yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada April depan bakal menjadi medan ujian rintis bagi kategori baharu itu sebelum temasya sebenar bermula.

Dalam perkembangan sama, Nur Azmi memaklumkan mesyuarat berkenaan turut meluluskan penubuhan Akademi SEAKF yang akan berpusat di Melaka pada tahun hadapan dengan penglibatan kesemua 11 negara anggota bagi memperkasa pembangunan sukan karate serantau.

MAKAF sebelum ini meletakkan sasaran awal sekurang-kurangnya enam pingat emas pada Sukan SEA 2027 di Malaysia.

Sasaran itu dijangka realistik berdasarkan pencapaian skuad karate negara ketika kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah temasya pada 2017 apabila meraih tujuh emas, dua perak dan empat gangsa daripada 16 acara dipertandingkan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.