Ancaman siber: Peralatan elektrik rumah pula mungkin jadi sasaran

Foto hiasan

BRUSSELS, 11 November – Peralatan elektrik di rumah berpotensi menjadi sasaran serangan siber susulan beberapa insiden penggodaman sistem peti sejuk di pasar raya Eropah baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ancaman boleh merebak kepada penghala internet dan peranti elektrik domestik, meningkatkan risiko keselamatan rangkaian.
  • Serangan siber berpotensi melumpuhkan perkhidmatan penting seperti polis, bomba, hospital dan pengangkutan, memberi impak segera kepada masyarakat.
  • Pengilang mesti terapkan keselamatan siber sejak peringkat reka bentuk; peraturan EU dan pengukuhan ENISA langkah awal tetapi tidak mencukupi.

Ketua Agensi Keselamatan Siber Kesatuan Eropah (ENISA), Juhan Lepassaar, memberi amaran bahawa ancaman itu boleh merebak kepada peranti lain termasuk penghala internet (router) dan pelbagai peralatan elektrik domestik.

Beliau berkata, serangan siber terhadap pasar raya di sekurang-kurangnya 12 negara Eropah pada Oktober dan November menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh sistem keselamatan digital.

“Keselamatan tidak sepatutnya dan tidak boleh dianggap sebagai perkara sampingan,” katanya kepada AFP di Brussels, Selasa.

Menurut Lepassaar, pengeluar perlu memastikan aspek keselamatan siber diterapkan sejak peringkat reka bentuk produk bagi mengelakkan peranti daripada mudah digodam.

Beliau berkata, ancaman siber bukan sahaja boleh menjejaskan peralatan elektrik, malah berpotensi melumpuhkan perkhidmatan penting yang bergantung kepada sistem digital.

Senario terburuk termasuk gangguan terhadap operasi polis, perkhidmatan bomba, hospital dan sistem pengangkutan yang menjadi keperluan harian masyarakat.

“Ini adalah perkhidmatan yang kita bergantung harap untuk berfungsi dengan baik sepanjang masa, 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu. Jika ia gagal beroperasi, kesannya akan dirasai serta-merta,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, ratusan pasar raya di Perancis diserang pada 11 dan 12 Oktober lalu, menyebabkan suhu peti sejuk serta peti beku meningkat sehingga memaksa premis terbabit melupuskan sejumlah besar stok makanan mudah rosak.

Perancis pada Isnin menuding jari kepada Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebagai pihak bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Bagaimanapun, Lepassaar tidak mengulas secara langsung tuduhan itu, sebaliknya menyatakan bahawa kumpulan yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Iran dan Rusia diketahui menyasarkan kepentingan Eropah.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman daripada pelaku siber yang mempunyai hubungan dengan China dan Korea Utara.

Mengulas langkah pencegahan, Lepassaar menyambut baik pelaksanaan sepenuhnya peraturan keselamatan siber Kesatuan Eropah pada tahun depan serta perancangan blok itu untuk menggandakan saiz dan sumber ENISA.

Bagaimanapun, beliau mengakui usaha berkenaan masih belum mencukupi, namun menyifatkannya sebagai langkah permulaan yang baik. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.