
DOHA, 10 November – Malaysia mencadangkan supaya penilaian liputan Internet global turut mengambil kira kawasan ekonomi utama seperti pelabuhan, rangkaian kereta api dan lebuh raya, selain kawasan berpenduduk.
- Malaysia meneroka pendekatan Liputan Kawasan Ekonomi (CoEA) sebagai pelengkap kepada ukuran Liputan Kawasan Berpenduduk (CoPA).
- Malaysia menggesa ITU meneliti konsep CoEA bersama negara anggota untuk menilai ketersambungan digital dan menyokong pembangunan yang lebih inklusif.
- Negara merekodkan liputan Internet 99.75% melalui JENDELA, 31.3 juta langganan 5G, serta 1,099 pusat NADI bagi kemahiran digital dan keusahawanan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Malaysia sedang meneroka pendekatan Liputan Kawasan Ekonomi (CoEA) sebagai pelengkap kepada ukuran sedia ada, iaitu Liputan Kawasan Berpenduduk (CoPA).
“Pendekatan baharu ini akan memperluas tumpuan kepada lokasi penting dari segi ekonomi yang memerlukan ketersambungan digital yang stabil bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan daya tahan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan dasar negara pada Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26), di sini.
Jelas Datuk Seri Fahmi lagi, Malaysia mencadangkan ITU dapat meneliti konsep CoEA bersama negara anggota sebagai pendekatan tambahan dalam menilai tahap ketersambungan digital dan menyokong pembangunan yang lebih inklusif.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia mencatat liputan Internet di kawasan berpenduduk sebanyak 99.75 peratus menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), manakala jumlah langganan perkhidmatan 5G mencapai 31.3 juta setakat September 2026.
Bagi memperluas manfaat pendigitalan kepada masyarakat, sebanyak 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut disediakan bagi meningkatkan kemahiran digital dan peluang keusahawanan.
Pada April 2026, NADI menyertai rangkaian Pusat Transformasi Digital ITU sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keterangkuman digital negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Fahmi berkata, rangkaian Internet yang stabil, selamat dan berdaya tahan penting bagi memastikan akses masyarakat kepada perkhidmatan digital tidak terjejas, khususnya ketika berlaku gangguan yang boleh menjejaskan aktiviti harian serta ekonomi.
Jelas beliau, usaha memperluas liputan Internet perlu disertai langkah meningkatkan keupayaan infrastruktur telekomunikasi untuk menghadapi gangguan dan memulihkan perkhidmatan dengan segera.
“Namun, liputan sahaja tidak mencukupi. Rangkaian ini juga perlu berdaya tahan, dengan sokongan sistem sandaran yang mencukupi, laluan ketersambungan alternatif, bekalan kuasa sokongan serta keupayaan pemulihan perkhidmatan dengan pantas,” katanya.