
KUALA LUMPUR, 10 November – Kematangan demokrasi bukan sekadar diukur melalui penyertaan rakyat dalam pilihan raya, tetapi turut bergantung kepada kebijaksanaan pengundi memilih pemimpin yang berwibawa dan mampu membawa kesejahteraan kepada masyarakat.
- Pengundi perlu menilai kredibiliti, keupayaan kepimpinan dan hala tuju calon serta parti sebelum membuat pilihan.
- Pemilihan berasaskan kemampuan mentadbir dan penyelesaian masalah, bukan dipengaruhi semata-mata sentimen politik.
- Pemimpin mesti menerjemah mandat kepada tindakan transformasional untuk menyelesaikan isu akar umbi dan menunaikan komitmen kepada rakyat.
Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah berkata, pengundi perlu menilai kredibiliti, keupayaan kepimpinan serta hala tuju calon dan parti politik sebelum membuat pilihan.
Katanya, keputusan memilih pemimpin perlu dibuat berdasarkan pertimbangan terhadap kemampuan mereka mentadbir dan melaksanakan tanggungjawab, bukan semata-mata dipengaruhi sentimen politik.
“Rakyat dan pengundi bukan sekadar perlu menunaikan tanggungjawab membuang undi, malah perlu menilai kualiti kepimpinan serta keupayaan setiap calon dan parti yang bertanding sebelum membuat pilihan,” katanya demikian selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Menurutnya, landskap demokrasi hari ini menuntut pemimpin yang mempunyai kredibiliti, berwibawa dan berintelektual, selain misi yang jelas serta komitmen terhadap rakyat.
“Landskap demokrasi masa kini menuntut tadbir urus yang baik serta kepimpinan berkarisma, berwibawa dan berintelektual, selain mempunyai perancangan dasar yang jelas serta komitmen berterusan dalam mendekati rakyat katanya.
Beliau berkata, tanggungjawab pemimpin tidak berakhir selepas memenangi pilihan raya, sebaliknya mandat yang diterima perlu diterjemahkan melalui tindakan khususnya dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat.
“Pemimpin perlu lebih mengutamakan pendekatan transformasional berbanding transaksional, dengan menggunakan mandat yang diperoleh untuk membantu rakyat serta menyelesaikan permasalahan di peringkat akar umbi,” katanya.
Sehubungan itu, kebijaksanaan pengundi dalam menilai dan memilih pemimpin penting bagi memastikan mandat yang diberikan digunakan untuk kepentingan masyarakat, sekali gus memperkukuh amalan demokrasi negara.