Lapan maut dalam insiden tembakan di Turkiye

Foto AFP

ISTANBUL, 6 November – Sekurang-kurangnya lapan orang maut manakala seorang lagi cedera parah dalam insiden tembakan di tiga buah kampung di wilayah Afyonkarahisar, barat Turkiye, pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua wanita ditemui cedera di Kampung Yukaritandir dan disahkan meninggal selepas dikejarkan ke hospital.
  • Tiga mayat ditemui di Kampung Kiyir dan tiga lagi di Kampung Ayazini, masing-masing sekitar 30 minit perjalanan.
  • Polis memburu seorang suspek dipercayai melarikan diri dengan kereta merah; operasi mencari sedang giat dijalankan.

Pejabat Gabenor Afyonkarahisar dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua mangsa maut akibat serangan bersenjata yang berlaku di kawasan luar bandar pada awal malam.

Menurut agensi berita Anadolu, dua wanita yang mengalami kecederaan akibat tembakan ditemukan di sebatang jalan di Kampung Yukaritandir.

Bagaimanapun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital.

Tiga lagi mayat ditemukan di Kampung Kiyir, kira-kira 30 minit perjalanan ke timur laut, manakala tiga mangsa lain ditemukan di Kampung Ayazini, yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari lokasi berkenaan.

Seorang lagi mangsa yang ditemukan dalam keadaan kritikal kini sedang menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, stesen televisyen swasta NTV melaporkan polis sedang memburu seorang suspek yang dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian menggunakan sebuah kereta berwarna merah.

Operasi memburu suspek sedang giat dijalankan pihak berkuasa.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.