ECRL tawar perjalanan selesa, jimat masa – Teo

Facebook: Teo Nie Ching (张念群)

KUALA TERENGGANU, 5 November- Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menawarkan perjalanan lebih selesa dan menjimatkan masa berbanding perjalanan darat, menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang berkongsi pengalaman menaiki tren berkenaan dari Terminal Bersepadu Gombak ke Stesen ECRL Kuala Terengganu, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemudahan dalam tren termasuk tandas mesra pengguna, ruang jualan makanan dan minuman, mesin pengisian air dan soket kuasa pada tempat duduk.
  • Perjalanan sangat selesa dan senyap walaupun tren mampu mencapai kelajuan maksimum 160 kilometer sejam, tanpa penumpang rasa pening.
  • ECRL berpotensi menjimatkan masa; contoh perjalanan yang sebelum ini ambil enam jam kini lebih tiga jam.

Beliau berkata, tren ECRL dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan penumpang, termasuk tandas mesra pengguna, ruang jualan makanan dan minuman, mesin pengisian semula air serta soket kuasa pada tempat duduk.

“Paling penting, tren ini turut menyediakan soket kuasa supaya penumpang tidak perlu bimbang telefon bimbit kehabisan bateri. Tempat duduknya juga sangat selesa. Setakat ini, saya menikmati perjalanan yang cukup santai,” katanya kepada media.

Teo turut menyifatkan perjalanan dalam tren itu sebagai selesa dan senyap meskipun ECRL mampu mencapai kelajuan maksimum 160 kilometer sejam.

Menurutnya, pergerakan tren yang lancar membolehkan penumpang menikmati perjalanan tanpa berasa seolah-olah bergerak pada kelajuan tinggi.

“Perjalanan dalam tren ini juga sangat senyap. Walaupun ECRL mampu mencapai kelajuan maksimum 160 kilometer sejam, penumpang tidak terasa pergerakan tren begitu laju atau mengalami pening. Jadi, perjalanan ini sememangnya sangat selesa,” katanya.

Mengulas tempoh perjalanan, beliau berkata ECRL berpotensi menjimatkan masa berbanding perjalanan menggunakan jalan raya.

Katanya, seorang kakitangannya pernah mengambil masa kira-kira enam jam untuk perjalanan dari Terengganu ke Kuala Lumpur, manakala perjalanan yang disertainya hari ini mengambil masa lebih tiga jam untuk tiba di Stesen ECRL Kuala Terengganu.

Lawatan kerja itu turut disusuli taklimat mengenai Projek ECRL oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang merangkumi aspek keselamatan, selain pembentangan laporan ujian kelajuan internet dalam tren oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.