Pengundi DUN Serkam harap calon tunai janji

Reaksi pengundi DUN Serkam

SERKAM, 5 November – Pelbagai pendekatan digunakan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bagi menarik perhatian pengundi, termasuk menerusi penyampaian manifesto, tawaran pembangunan dan usaha mendekati masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengundi mahu calon bukan sekadar janji tetapi jelaskan perancangan dan pelaksanaan jika diberi mandat.
  • Hargai calon yang turun padang serta pemimpin jujur dan amanah untuk menambat kepercayaan rakyat.
  • Pengundi mahu calon mampu mendekati golongan muda dan wanita, serta kempen sihat menghormati perbezaan pandangan.

Tinjauan RTM di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam mendapati pengundi berharap setiap calon bukan sekadar mengemukakan janji, sebaliknya memberikan penjelasan mengenai perancangan serta pelaksanaannya sekiranya diberi mandat.

Seorang penduduk, Bakhtiar Abd Kadir berkata, usaha calon turun padang dan mendekati masyarakat membolehkan pengundi mengenali mereka dengan lebih dekat.

“Saya lihat setiap hari ada aktiviti dan calon memang turun ke semua kawasan. Kita dapat melihat sendiri kehadiran mereka, termasuk di kawasan Berangan Enam, sekali gus memberi peluang kepada penduduk untuk bertemu calon,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ishak Alias berharap setiap janji yang dikemukakan calon dapat dilaksanakan sekiranya mereka dipilih sebagai wakil rakyat.

“Saya harap semua yang dijanjikan dapat dilaksanakan supaya rakyat lebih yakin. Bagi saya, bukan sekadar menjadi pemimpin, tetapi amanah yang diberikan perlu dipikul dan dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Rakyat sekarang bijak menilai kerana pelbagai maklumat boleh diperoleh melalui media. Pemimpin yang jujur dan amanah akan mendapat kepercayaan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Mahmud berpandangan semua calon perlu diberi ruang untuk menyampaikan pandangan masing-masing, manakala pengundi berhak membuat pilihan berdasarkan penilaian sendiri.

“Setakat ini, saya lihat semua calon yang datang menunjukkan pendekatan yang baik. Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri dan sebagai pengundi, kita perlu menilai sendiri siapa yang terbaik,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Sharqawi Izhar pula berharap calon yang dipilih kelak mempunyai keupayaan mendekati golongan muda serta wanita bagi memastikan suara mereka turut diberi perhatian.

“Seorang pemimpin perlu mempunyai sifat mendekati golongan muda, termasuk lelaki dan wanita. Kita memerlukan pemimpin seperti ini supaya suara anak muda dapat didengar di peringkat kepimpinan.”

Pengundi turut berharap semua calon mengamalkan kempen secara sihat serta menghormati perbezaan pandangan bagi memastikan suasana PRN Melaka berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni, katamya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.