
DHAKA, 4 November– Pemilik kilang dan pemimpin kesatuan pekerja di Bangladesh bersetuju menyemak semula kadar gaji dalam industri pembuatan pakaian negara itu susulan protes selama beberapa hari oleh ribuan pekerja yang menuntut kenaikan gaji, menurut pegawai pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
- Jawatankuasa enam anggota dilantik kerajaan akan merangka struktur gaji baharu bagi pekerja industri pakaian.
- Struktur gaji disemak dijangka berkuat kuasa Disember; pekerja akan menerima gaji lebih tinggi mulai Januari.
- Ribuan pekerja berhimpun menuntut kenaikan gaji permulaan dari 12,500 kepada 30,000 taka; berlaku pertempuran dengan polis.
- Kekacauan menjejaskan pengeluaran; lebih 300 kilang menggantung operasi dan polis menggunakan gas pemedih mata serta bom pegun.
Persetujuan itu dicapai pada mesyuarat pertama sebuah jawatankuasa enam anggota yang dilantik kerajaan bagi merangka struktur gaji baharu untuk pekerja industri pakaian, kata wakil kesatuan pekerja Babul Akhter pada sidang media bersama di Dhaka.
Akhter berkata struktur gaji yang disemak semula itu dijangka berkuat kuasa pada Disember, dengan pekerja menerima gaji lebih tinggi buat kali pertama pada Januari.
ABM Shamsuddin, yang mewakili Persatuan Pengilang dan Pengeksport Pakaian Bangladesh dalam jawatankuasa itu, mengesahkan persetujuan berkenaan.
Bagaimanapun, kedua-dua wakil itu tidak memberikan butiran mengenai cadangan kenaikan gaji tersebut.
Akhter menggesa pekerja kembali bertugas di kilang masing-masing ketika protes memasuki hari kelima berturut-turut pada Rabu.
Ribuan pekerja industri pakaian mengadakan protes sejak Sabtu bagi menuntut kenaikan gaji minimum bulanan pekerja peringkat permulaan daripada 12,500 taka kepada 30,000 taka (kira-kira US$220).
Seperti hari sebelumnya, pekerja keluar dari kilang pada Rabu dan menyekat lebuh raya utama di sekitar Dhaka serta bertempur dengan polis.
Polis menggunakan gas pemedih mata dan bom pegun bagi menyuraikan penunjuk perasaan di Savar, pinggir ibu negara, serta daerah perindustrian Gazipur dan Narayanganj.
Kekacauan itu menjejaskan pengeluaran di beberapa kawasan perindustrian, dengan pemilik kilang menggantung operasi di lebih 300 premis.
Syed Azad Subhani, hakim daerah dan sesyen yang mempengerusikan jawatankuasa semakan gaji itu, berkata pemilik kilang, kesatuan sekerja dan seorang pakar bebas akan mengemukakan cadangan berasingan mengenai struktur gaji baharu pada mesyuarat jawatankuasa seterusnya yang tarikhnya masih belum ditetapkan.
Beliau berkata persetujuan muktamad akan dicapai selepas ketiga-tiga cadangan itu dibincangkan.
Bangladesh merupakan pengeksport pakaian kedua terbesar dunia selepas China, dengan pendapatan kira-kira US$39 bilion setahun daripada eksport pakaian, terutamanya ke pasaran Eropah dan AS.
Industri itu menggaji lebih empat juta pekerja, kebanyakannya wanita, di kira-kira 4,000 kilang.- BERNAMA