
KUALA LUMPUR, 4 November – Penerima baharu dan pemohon yang membuat rayuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Empat yang diluluskan akan mula menerima bayaran bantuan itu pada 16 November ini.
- Pembayaran kepada penerima sedia ada dilaksanakan secara berperingkat mulai hari ini hingga 6 November.
- Peruntukan STR Fasa Empat RM1.1 bilion, manfaatkan 5.4 juta penerima; isi rumah sehingga RM500, warga emas tiada pasangan RM150.
- Pembayaran melalui pengkreditan terus ke akaun bank, tanpa akaun boleh tuntut tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, pembayaran kepada penerima sedia ada pula dilaksanakan secara berperingkat mulai hari ini hingga 6 November.
“Secara keseluruhan, STR Fasa Empat melibatkan peruntukan RM1.1 bilion yang memanfaatkan 5.4 juta penerima di seluruh negara.
“Daripada keseluruhan penerima, seramai empat juta merupakan isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah, manakala 1.4 juta lagi terdiri daripada warga emas tiada pasangan.
“Mengikut kategori kelayakan, isi rumah layak menerima bantuan sehingga RM500, manakala warga emas tiada pasangan menerima RM150,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Bagi kaedah pembayaran, MOF memaklumkan penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bantuan menerusi pengkreditan terus ke akaun masing-masing, manakala mereka yang tidak mempunyai akaun bank boleh membuat tuntutan tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) berhampiran.
Dalam pada itu, MOF memaklumkan seramai 1.68 juta penerima yang dikenal pasti tidak mengemas kini maklumat permohonan selama tiga tahun berturut-turut telah diberikan peringatan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) supaya berbuat demikian.
Pengemaskinian maklumat melalui portal rasmi STR penting bagi memastikan penyaluran bantuan berdasarkan data terkini, selain membolehkan status kelayakan disemak semula bagi tahun 2027.
Menurut kementerian itu, penstrukturan semula kewangan kerajaan dan penambahbaikan tatakelola membolehkan peruntukan keseluruhan STR dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion, hampir tiga kali ganda berbanding peruntukan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2016.
Orang ramai turut diingatkan supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan, serta hanya merujuk portal rasmi bantuantunai.hasil.gov.my atau sara.gov.my untuk semakan status dan maklumat lanjut.