Kerajaan ada mekanisme tersusun tangani ancaman siber

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 4 November – Rakyat tidak seharusnya panik dalam menghadapi ancaman serangan siber kerana kerajaan mempunyai mekanisme tersusun untuk menangani ancaman berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) menekankan tanggungjawab bersama kerajaan, agensi keselamatan, sektor swasta dan rakyat.
  • Perkukuh sistem pertahanan digital dan tingkatkan kesiapsiagaan awal untuk lindungi bekalan harian serta elak gangguan perkhidmatan kritikal.
  • Ambil iktibar pengalaman negara lain serta nasihat stok makanan asas tiga hingga 10 hari bagi mengharungi kemungkinan gangguan infrastruktur.

Pakar geostrategi Prof Dr Azmi Hassan berkata pendekatan Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang diterapkan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) menekankan tanggungjawab bersama kerajaan, agensi keselamatan, sektor swasta dan rakyat dalam mempertahankan keselamatan negara.

“Naratif paling penting adalah supaya rakyat tidak panik. Kerajaan amat akur dan cakna dengan situasi ini, malah kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan sesi penerangan khusus kepada Ahli Parlimen membuktikan komitmen kepimpinan negara dalam memberi pencerahan berhubung bahaya serangan hibrid,” katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau berkata kesedaran masyarakat perlu ditingkatkan supaya rakyat lebih bersedia sekiranya berlaku krisis, selain usaha agensi keselamatan memperkukuh sistem pertahanan digital negara.

Katanya, walaupun Malaysia belum berdepan serangan berskala besar, ancaman digital kebelakangan ini perlu menjadi peringatan kepada kementerian dan agensi kerajaan untuk memperkukuh keselamatan sistem masing-masing.

Beliau berkata serangan siber boleh menjejaskan bekalan keperluan harian rakyat, seperti insiden di Perancis apabila serangan siber terhadap rangkaian pasar raya melumpuhkan sistem penyejukan sehingga menyebabkan makanan rosak.

“Inilah sebabnya mengapa kesiapsiagaan awal itu penting agar kehidupan rakyat dan kestabilan bekalan seharian tidak terencat,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menyarankan rakyat mengambil iktibar daripada pendekatan United Kingdom (UK) dan Jepun yang menasihatkan penduduk menyediakan bekalan makanan asas untuk tempoh tiga hingga 10 hari bagi menghadapi kemungkinan gangguan infrastruktur.

Tambah beliau, Malaysia juga perlu meneliti pengalaman Singapura, Korea Selatan, Jepun dan beberapa negara Teluk yang pernah berdepan insiden serangan siber bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.