
KUALA LUMPUR 4 November -Institusi keluarga yang kukuh menjadi asas pembentukan masyarakat sejahtera, namun perubahan gaya hidup, kekangan masa serta kurangnya komunikasi boleh menjejaskan keharmonian hubungan kekeluargaan.
- NBKK26 dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui LPPKN sebagai platform pendidikan keluarga menyeluruh.
- Program menampilkan aktiviti interaktif seperti treasure hunt, tarian budaya dan kempen pelukan 10 saat untuk eratkan hubungan keluarga.
- Penganjur sentuh cabaran kekeluargaan: berkahwin lewat, kurang kesediaan berkomitmen dan konflik rumah tangga.
- NBKK26 bertujuan tingkatkan kesedaran tentang komunikasi, kasih sayang dan masa berkualiti; orang ramai dijemput hadir di SITC Shah Alam.
Atas kesedaran itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menganjurkan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 (NBKK26) pada 6 dan 7 November ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penganjuran NBKK26 melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bukan sekadar sambutan tahunan, sebaliknya menjadi platform pendidikan masyarakat mengenai pembangunan keluarga secara menyeluruh.
“Ini bermakna mereka melalui satu kitaran kehidupan yang lengkap untuk memperoleh ilmu dan pengalaman. Pada masa sama, kita turut menganjurkan program yang membabitkan penyertaan ahli keluarga. Menerusi aktiviti seperti ‘treasure hunt’, mereka perlu berkomunikasi dan bekerjasama, sekali gus membantu mengeratkan hubungan kekeluargaan serta tali persaudaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bersiaran pada program Selamat Pagi Malaysia di sini hari ini.
Bertemakan “KASIH Keluarga, Jiwa Negara”, program berlangsung di Selangor International Trade Centre, (SITC) Shah Alam itu turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif.
Antaranya ‘treasure hunt’, tarian kreatif berunsurkan kebudayaan serta kempen pelukan 10 saat bagi menggalakkan interaksi dan menzahirkan kasih sayang sesama ahli keluarga.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh cabaran kekeluargaan masa kini, termasuk kecenderungan berkahwin pada usia lewat, kurang kesediaan untuk berkomitmen serta konflik rumah tangga.
“Pada masa ini, ramai golongan muda memilih untuk berkahwin lewat. Ada juga yang mahu berkahwin tetapi menangguhkan hasrat itu. Malah, terdapat segelintir yang memilih untuk tidak berkahwin, bukan semata-mata disebabkan kos sara hidup yang tinggi, sebaliknya mungkin kerana kurang keberanian untuk memikul komitmen dalam perkahwinan dan mengambil keputusan untuk terus membujang,” katanya.
Sehubungan itu, NBKK26 diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan komunikasi, kasih sayang dan masa berkualiti bersama keluarga.
Orang ramai dijemput hadir ke SITC, Shah Alam pada 6 dan 7 November ini bagi menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.