
KUALA LUMPUR, 3 November – Wakaf MARA MADANI menyalurkan sumbangan bernilai RM 50,000 kepada Hospital Tunku Azizah (HTA) di sini bagi menyokong pelaksanaan inisiatif Hospital Mesra Ibadah (HMI).
- Kelengkapan ibadah disumbangkan, termasuk troli ibadah, sejadah, telekung, debu tayamum, naskhah al-Quran dan Yasin.
- Sumbangan turut merangkumi 1,000 seluar bersalin untuk memenuhi keperluan pesakit wanita.
- Inisiatif bertujuan mewujudkan persekitaran hospital lebih mesra ibadah terutama bagi pesakit berhadapan keterbatasan pergerakan.
Menurut Ketua Unit Wakaf MADANI MARA Nur Azlin Ismail, sumbangan menerusi program Wakaf Prihatin: Sentuhan Kasih itu merangkumi kelengkapan ibadah untuk membantu pesakit dan penjaga menunaikan tanggungjawab agama dengan lebih selesa sepanjang menerima rawatan.
“Antara kelengkapan disumbangkan ialah 24 troli ibadah, 60 sejadah, 60 telekung, 100 set debu tayamum, 50 naskhah al-Quran dan 100 naskhah Yasin.
“Sumbangan turut merangkumi 1,000 seluar bersalin bagi memenuhi keperluan pesakit wanita,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau inisiatif tersebut bertujuan mewujudkan persekitaran hospital yang lebih mesra ibadah, khususnya bagi pesakit yang mempunyai keterbatasan pergerakan atau keadaan kesihatan yang menyukarkan pelaksanaan ibadah seperti biasa.