
KUALA LUMPUR, 3 November – Kerajaan akan meneliti pelaksanaan dasar pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam terdahulu yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.
- Penelitian pelaksanaan akan mengambil kira aspek keadilan dan memastikan pembiayaan pendidikan negara kekal mampan.
- Dasar PTPTN dikaji untuk memastikan bantuan disalurkan secara bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
- Kemudahan penangguhan disediakan untuk peminjam berpendapatan sehingga RM2,500; pendapatan RM2,501 hingga RM3,000 dikenakan bayaran minimum RM50 sebulan.
- Kerajaan menggalakkan disiplin bayaran melalui diskaun 10% bagi rekod pembayaran teratur dan potongan cukai untuk majikan membantu pembayaran pekerja (2027-2028).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penelitian itu akan mengambil kira aspek keadilan kepada peminjam berkenaan, selain memastikan dasar pembiayaan pendidikan negara kekal mampan.
“Dasar PTPTN akan terus kita kaji bagi memastikan bantuan disalurkan secara bersasar, khususnya kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Bagi isu pengecualian ini, kita akan menelitinya dalam konteks dasar berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat.
Menyentuh mengenai kebajikan siswazah, Datuk Seri Amir berkata kerajaan menyediakan kemudahan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam berpendapatan bulanan sehingga RM2,500.
Bagi peminjam yang memperoleh pendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 sebulan pula, bayaran balik minimum ditetapkan pada kadar RM50 sebulan bagi meringankan fasa awal memasuki alam pekerjaan.
Pada masa sama, kerajaan turut menggalakkan disiplin bayaran balik menerusi diskaun 10 peratus kepada peminjam yang mengekalkan rekod bayaran teratur tanpa tunggakan, manakala majikan yang membantu melunaskan bayaran balik pinjaman pekerja turut layak menerima potongan cukai bermula 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2028.