TVET 2.0 sasar lahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari

HULU LANGAT, 3 November – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan TVET 2.0 sebagai anjakan strategik untuk memperkukuh ekosistem latihan kemahiran belia negara menerusi empat teras utama.

RINGKASAN BERITA AI
  • KBS memeterai MoU dengan 21 syarikat industri untuk memperluas kerjasama strategik dalam pembangunan bakat belia.
  • Kadar kebolehpasaran graduan ILKBS mencapai 97.36% hasil latihan seimbang 80% teknikal dan 20% pembangunan sahsiah.
  • Belanjawan 2027 peruntuk sehingga RM8 bilion bagi TVET; elaun pelatih dinaikkan daripada RM100 kepada RM300 dan peruntukan makanan ditingkatkan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, empat teras itu merangkumi latihan berasaskan industri dan tempat kerja, perkongsian pembiayaan antara kerajaan dengan industri, TVET sepanjang hayat serta pembangunan latihan dalam bidang teknologi tinggi dan kritikal.

“TVET 2.0 KBS merupakan satu anjakan strategik untuk memperkasakan ekosistem latihan kemahiran belia menerusi empat fokus utama, iaitu latihan berasaskan industri dan tempat kerja, perkongsian pembiayaan antara kerajaan dengan industri, TVET sepanjang hayat serta pembangunan latihan dalam bidang teknologi tinggi dan kritikal.

“Pada hari ini, kita turut menyaksikan pemeteraian dan pertukaran MoU antara ILKBS dengan 21 syarikat industri bagi memperluas kerjasama strategik dalam pembangunan bakat belia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran TVET 2.0 KBS dan Himpunan Belia TVET MADANI 2026 di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, di sini.

Menurutnya, kadar kebolehpasaran graduan ILKBS mencapai 97.36 peratus pada 2026, hasil latihan yang mengimbangi kemahiran teknikal sebanyak 80 peratus dan pembangunan sahsiah serta jati diri sebanyak 20 peratus.

KBS menyasarkan lebih 15,000 pelatih di 21 institusi ILKBS bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di dalam dan luar negara.

Sementara itu, beliau menyambut baik peruntukan sehingga RM8 bilion bagi sektor TVET menerusi Belanjawan 2027 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk peningkatan elaun pelatih ILKBS daripada RM100 kepada RM300 serta peruntukan makanan daripada RM35 juta kepada RM40 juta tahun depan.

“Alhamdulillah, kebajikan peserta ILKBS turut mendapat perhatian, khususnya melalui peningkatan kadar elaun daripada RM100 kepada RM300.

“Selain itu, peruntukan makanan bagi 21 institusi ILKBS juga ditingkatkan daripada RM35 juta tahun ini kepada RM40 juta tahun depan. Peningkatan ini pastinya memberi kelegaan kepada semua peserta ILKBS. Kita menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berkenaan,” ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.