
KUALA LUMPUR, 3 November – Isu sekatan pilihan doktor pakar oleh syarikat insurans terhadap pemegang polisi akan dibawa untuk perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM).
- Perkara dibangkitkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai amalan syarikat insurans menetapkan senarai doktor panel.
- Terdapat kes pemegang polisi tidak mendapat kelulusan bayaran apabila memilih doktor pakar di luar senarai panel.
- Menteri tekankan pemantauan amalan industri penting untuk memastikan pematuhan peraturan dan mengawal inflasi kos perubatan.
- Pemantauan merangkumi kemudahan pembayaran tanpa tunai bagi mengawal peningkatan kos perubatan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung amalan syarikat insurans yang menetapkan senarai doktor panel bagi mendapatkan rawatan.
Menurutnya, terdapat kes pemegang polisi yang tidak mendapat kelulusan bayaran rawatan apabila memilih doktor pakar di luar senarai panel syarikat insurans masing-masing.
“Apa yang penting juga ialah memastikan semua pemain dalam industri mematuhi peraturan yang baik supaya tidak meningkatkan kos inflasi perubatan,” katanya ketika menggulung perbahasan peruntukan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, pemantauan terhadap amalan industri insurans penting bagi memastikan pemain industri mematuhi peraturan, termasuk berkaitan kemudahan pembayaran tanpa tunai (cashless), sekali gus mengawal peningkatan kos perubatan.