
KUALA LUMPUR, 3 November – Kerajaan telah membayar balik lebihan cukai sejumlah RM20.271 bilion melibatkan 3.65 juta kes pembayar cukai yang telah dilunaskan sehingga 31 Oktober 2026.
- RM6.84 bilion dibayar balik kepada individu; RM13.036 bilion kepada 206,234 pembayar cukai syarikat termasuk PMKS.
- Keutamaan pembayaran kepada individu dan PMKS mengurangkan pembayar cukai berbaki daripada kira-kira satu juta kepada sekitar 550,000.
- Kerajaan komited menyelesaikan baki bayaran balik segera, meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai dan melindungi hak pembayar cukai.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, daripada jumlah itu, RM6.84 bilion dibayar balik kepada 3.427 juta pembayar cukai individu, manakala RM13.036 bilion kepada 206,234 pembayar cukai syarikat termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurutnya, keutamaan pembayaran kepada individu dan syarikat PMKS berjaya mengurangkan bilangan pembayar cukai yang masih mempunyai lebihan cukai daripada kira-kira lebih satu juta pada Disember 2025 kepada sekitar 550,000 setakat 30 Oktober 2026.
“Selaras dengan pendekatan ini, bilangan pembayar cukai dengan lebihan cukai telah dikurangkan hampir separuh, daripada satu juta pada Disember tahun lalu kepada sekitar 550,000 pembayar cukai pada 30 Oktober 2026,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat.
Datuk Amir berkata, kerajaan komited memastikan baki tunggakan bayaran balik diselesaikan sepenuhnya dengan segera bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai serta melindungi hak pembayar cukai, selaras dengan agenda reformasi fiskal kerajaan.