
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif
SEPANG, 3 November – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berkemungkinan ditutup semula bagi membolehkan kerja penurapan dilaksanakan susulan aduan pelumba MotoGP mengenai keadaan permukaan trek yang didakwa semakin teruk ketika Grand Prix (GP) Malaysia.
- SIC akan meneliti laporan penuh FIM dan MotoGP serta maklum balas pelumba sebelum menentukan tindakan selanjutnya.
- Rancangan awal penurapan keseluruhan ditangguhkan kerana kekangan bekalan, kos bitumen tinggi dan masalah logistik; kerja 'milling' dilaksanakan.
- Kerja penurapan mungkin bersifat terhad; SIC akan kenal pasti bahagian bermasalah. Sebelum ini penurapan dibuat dari selekoh tujuh hingga 12.
- Kos dijangka meningkat; SIC akan semak peruntukan tahun depan, mungkin guna dana sendiri. Tempoh penutupan bergantung luas kawasan dan tempahan.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya mengambil serius maklum balas pelumba dan akan meneliti laporan penuh mengenai keadaan permukaan litar daripada Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) serta pihak MotoGP sebelum menentukan tindakan selanjutnya.
Menurutnya, SIC pada awal tahun ini merancang untuk menurap semula keseluruhan litar. Bagaimanapun, kekangan bekalan bahan susulan konflik di Asia Barat, peningkatan kos bitumen serta masalah logistik menyebabkan pihaknya memilih kaedah alternatif, iaitu mengisar permukaan trek sedia ada (miling).
“Pada awal tahun ini, ketika kita menutup litar, memang ada perancangan untuk menurap semula keseluruhan trek. Namun, disebabkan konflik yang masih berlaku di Timur Tengah, kita berdepan kesukaran mendapatkan bekalan bahan. Kos bitumen juga agak tinggi dan logistik menjadi lebih sukar. Jadi, kita memilih kaedah lain dengan melaksanakan kerja ‘milling’ ” katanya kepada media selepas berakhirnya GP Malaysia.
Bagaimanapun, Shafriman tidak menolak kemungkinan kerja penurapan semula dilaksanakan berdasarkan maklum balas pelumba dan laporan penilaian FIM serta pihak MotoGP.
Menurutnya, kerja itu tidak semestinya melibatkan keseluruhan litar kerana SIC akan mengenal pasti bahagian yang memerlukan penambahbaikan. Sebelum ini, penurapan telah dilaksanakan dari selekoh tujuh hingga selekoh 12.
Mengulas mengenai kos, beliau berkata, SIC akan meneliti peruntukan bagi tahun depan dan tidak menolak kemungkinan menggunakan dana sendiri. Kos dijangka meningkat berikutan keperluan mendapatkan bekalan bahan serta penyelarasan jadual operasi litar.
Tempoh penutupan pula bergantung pada keluasan kawasan yang perlu diturap. SIC juga perlu mengambil kira tempahan litar pada Disember ini dan Januari 2027 sebelum menetapkan jadual pelaksanaan kerja.
“Tempoh penutupan bergantung kepada panjang kawasan yang perlu diturap. Semakin luas kawasan yang terlibat, semakin lama masa diperlukan untuk menutup litar. Kita juga perlu melihat kalendar tahun depan kerana sudah ada tempahan pada Disember dan Januari. Pada masa sama, MotoGP dan FIM meminta kerja penurapan ini diselesaikan sebelum ujian rasmi,” katanya.