
KUALA LUMPUR, 3 November – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang giat melaksanakan pemetaan keperluan bilik darjah dan kemudahan sekolah bagi memastikan kesiapsiagaan infrastruktur pendidikan menjelang pelaksanaan kemasukan murid Tahun Satu berusia enam tahun secara sukarela pada 2027.
- Unjuran awal kira-kira 73,000 murid berusia enam tahun dijangka memasuki Tahun Satu, memerlukan perancangan kapasiti bilik darjah mencukupi.
- Bilik darjah dibina menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS); sebahagian siap, selebihnya dalam pembinaan untuk siap menjelang sesi Januari.
- KPM menukar fungsi bilik kosong untuk tampung murid tambahan Tahun Satu dan akan mengemukakan perincian bilik dibina serta ruang ditukar fungsi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, unjuran awal menunjukkan kira-kira 73,000 murid daripada kohort berusia enam tahun dijangka memasuki Tahun Satu, sekali gus memerlukan perancangan kapasiti bilik darjah yang mencukupi.
“Pemetaan dibuat berdasarkan sasaran dan juga jumlah kemasukan sebenar. Sebab itu, dalam tempoh enam bulan ini, KPM giat melaksanakan beberapa pendekatan bagi memastikan bilik darjah yang mencukupi dapat disediakan.
“Antara langkah utama ialah pembinaan bilik darjah menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS). Ada yang sudah siap, manakala selebihnya masih dalam pembinaan. Kita akan memastikan semuanya siap untuk digunakan bagi sesi persekolahan pada Januari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi di Dewan Rakyat.
Selain pembinaan bilik darjah baharu, KPM turut melaksanakan inisiatif menukar fungsi bilik kosong di sekolah bagi menampung keperluan tambahan murid Tahun Satu, melibatkan kohort berusia enam dan tujuh tahun.
KPM juga akan mengemukakan perincian mengenai jumlah bilik darjah yang dibina serta ruang sedia ada yang telah ditukar fungsi sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi sesi persekolahan 2027.