
KUALA NERUS, 2 November – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempergiat persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) menerusi pelaksanaan Operasi Payung bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan berisiko banjir dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan selesa.
- Koordinasi dengan NADMA, jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah serta agensi seperti PDRM dan APM termasuk simulasi bagi tindak balas segera terhadap banjir.
- NADMA memperuntukkan lebih RM7 juta tahun ini untuk membaiki tandas dan menyelenggara persekitaran sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara.
- Tambahan peruntukan RM5 juta akan disalurkan NADMA bagi persediaan dan pemulihan pasca Monsun Timur Laut.
- Jabatan Pendidikan Terengganu perkasakan pendidikan digital melalui anugerah, TV Pusat Sumber dan produksi podcast untuk melahirkan generasi celik digital.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Datuk Zainal Abas berkata operasi berkenaan dilaksanakan setiap tahun itu bagi membantu calon SPM, khususnya di kawasan terjejas banjir.
“Koordinasi turut dilaksanakan bersama NADMA, jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah yang telah mengadakan simulasi bagi membantu kawasan yang berisiko terjejas akibat banjir.
“Kita berharap segala langkah persediaan dan penyelarasan yang dilaksanakan bersama NADMA, jawatankuasa pengurusan bencana negeri serta agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dapat digerakkan dengan segera sekiranya berlaku bencana,” katanya.
Datuk Zainal berkata demikian selepas hadir pada Majlis “Terafecta Digital Luminaries Awards” anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) di Dewan Jubli Perak di sini.
Sementara itu, Datuk Zainal berkata, KPM turut menyelaraskan persiapan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) peringkat negeri dan daerah serta agensi berkaitan bagi membantu kawasan yang berisiko terjejas banjir, terutamanya membabitkan sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Katanya, NADMA telah memperuntukkan lebih RM7 juta pada tahun ini bagi membantu KPM menyediakan prasarana yang lebih baik di PPS.
Peruntukan itu meliputi kerja pembaikan tandas dan penyelenggaraan persekitaran sekolah bagi memastikan kemudahan berkenaan berada dalam keadaan baik untuk menerima penduduk terjejas banjir.
Dalam pada itu, bagi membantu KPM membuat persediaan pasca MTL, NADMA akan menyalurkan tambahan peruntukan sebanyak RM5 juta.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu terus memperkasa pendidikan digital menerusi Anugerah Pendidikan Digital bagi mengiktiraf kecemerlangan murid, guru, sekolah, dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam pembudayaan teknologi serta inovasi.
Menurut Datuk Zainal Abas, antara inisiatif yang diketengahkan ialah TV Pusat Sumber Sekolah dan penghasilan podcast bagi menggalakkan murid menghasilkan kandungan digital sendiri.
“Pusat sumber pada abad ke-21 memainkan peranan lebih luas berbanding pusat sumber tradisional yang hanya berfungsi sebagai perpustakaan.
“Seiring perkembangan teknologi, pusat sumber di sekolah kini ditransformasikan menjadi pusat digital yang turut menyediakan dan menghasilkan pelbagai bahan digital, selain menerapkan kaedah pembelajaran terkini seperti podcast sebagai platform perkongsian maklumat,” katanya.
Usaha dilaksanakan ini juga diharap dapat melahirkan generasi celik digital yang mampu bersaing pada masa hadapan.