
SHAH ALAM, 2 November – Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di kawasan parkir kenderaan berhampiran Pangsapuri Seri Nilam, Subang Permata, di sini, petang tadi.
- Panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.17 petang.
- Sepasukan anggota BBP Bukit Jelutong tiba pada 4.35 petang selepas perjalanan sejauh lapan kilometer.
- Pemeriksaan mengesahkan runtuhan di tempat letak kereta, kawasan terjejas dianggarkan 200 x 6 kaki persegi.
- Tiada mangsa; pemantauan diteruskan dan sawar keselamatan dipasang untuk menghalang kenderaan memasuki kawasan runtuhan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi kenyataan memaklumkan, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 4.17 petang tadi.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong tiba di lokasi pada 4.35 petang selepas menempuh perjalanan sejauh lapan kilometer.
“Pemeriksaan di lokasi mengesahkan berlaku runtuhan tanah di bahagian tempat letak kereta dengan anggaran keluasan kawasan terjejas berukuran 200 x 6 kaki persegi,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang mangsa dan pemantauan dilakukan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada risiko bahaya susulan kejadian berkenaan.
Sawar keselamatan turut dipasang bagi menghalang kenderaan daripada memasuki kawasan runtuhan demi keselamatan orang awam.
Operasi berkenaan melibatkan enam anggota dengan menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT-1).