
SHAH ALAM, 2 November – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Selangor melupuskan sebanyak 37.3 tan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.71 bilion hari ini, membabitkan 6,526 kertas siasatan yang telah diselesaikan antara 2009 hingga 2025.
- Pelupusan merupakan langkah terakhir pengurusan barang kes selepas kes diselesaikan melalui proses perundangan.
- Semua barang kes dimusnahkan di loji rawatan sisa klinikal Teluk Panglima Garang menggunakan insinerator berteknologi tinggi.
- Pelupusan dilaksanakan mengikut prosedur ketat bagi melindungi kesihatan awam, alam sekitar dan menunjukkan komitmen PDRM membanteras dadah.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pelupusan itu merupakan langkah terakhir dalam pengurusan barang kes dadah selepas kes berkenaan selesai melalui proses perundangan.
Antara dadah yang dilupuskan ialah 33.5 tan syabu, 714 kilogram ketamin, 104 kilogram ganja, 14 kilogram pil ekstasi serta pelbagai jenis dadah lain termasuk heroin dan pil kuda.
“Proses pelupusan ini akan dijalankan di loji rawatan sisa klinikal di pusat perindustrian Teluk Panglima Garang, Banting, Selangor dan semua barang kes ini akan dimusnahkan sepenuhnya secara terkawal menerusi kaedah pembakaran menggunakan insinerator yang selamat dan berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes JSJN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.
Proses pelupusan dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan bagi memastikan bahan berkenaan dimusnahkan dengan selamat tanpa menjejaskan kesihatan awam serta alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Selangor merekodkan nilai pelupusan dadah tertinggi di seluruh negara sepanjang tahun ini, iaitu RM1.71 bilion, diikuti Sabah dengan RM120.4 juta dan Johor sebanyak RM40.02 juta.
Secara keseluruhan, sebanyak 45.7 tan dadah pepejal dan 60,880 liter dadah cecair bernilai kira-kira RM1.93 bilion telah dilupuskan di seluruh negara sepanjang tahun ini.
JSJN juga melupuskan 13,342 kertas siasatan narkotik di seluruh negara bagi kes dari 1991 hingga 2025, dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 6,526 kertas siasatan.
Pelaksanaan pelupusan itu mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras ancaman dadah serta memastikan pengurusan barang kes dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.