GP Malaysia 2026 rekod kehadiran 196,000 pengunjung

Foto FB Datuk Seri Anwar Ibrahim/ PMO

SEPANG, 2 November – PETRONAS Grand Prix (GP) Malaysia 2026 merekodkan kehadiran seramai 196,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Jualan tiket hampir capai sasaran: 52,000 daripada 56,000 tiket terjual, hampir 100 peratus.
  • Dua individu ditahan berkaitan penjualan pas Perdana Suite palsu, diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
  • Pas dipercayai dihasilkan dalaman tanpa kod bar lalu dijual di pasaran gelap, beberapa pas dijual pada harga RM250.
  • SIC mengesan kegiatan melalui maklumat dalaman, bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan PDRM serta akan memperketat kawalan pas.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, jualan tiket edisi tahun ini turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila hampir mencapai sasaran yang ditetapkan.

Menurutnya, berdasarkan laporan awal, sebanyak 52,000 daripada 56,000 tiket yang disediakan telah terjual, sekali gus mencapai hampir 100 peratus sasaran jualan.

“Laporan awal menunjukkan kira-kira 52,000 tiket telah terjual daripada 56,000 tiket yang disediakan. Hampir 100 peratus daripada jumlah keseluruhan” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan GP Malaysia 2026 di SIC, semalam.

Mengulas mengenai isu penjualan pas Perdana Suite secara tidak sah di pasaran gelap, Azhan mengesahkan dua individu telah ditahan sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pas berkenaan dipercayai dihasilkan secara dalaman sebelum dijual di pasaran gelap tanpa dilengkapi kod bar.

“Setakat ini, dua suspek telah ditahan. Mereka masih direman dan siasatan masih dijalankan, jadi saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam sistem kita dan kita akan memperketatkan lagi kawalan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau memaklumkan, kegiatan itu berjaya dikesan hasil maklumat dalaman sebelum SIC bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan PDRM bagi mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat.

Beliau berkata, insiden itu menjadi pengajaran kepada SIC untuk memperkukuh sistem pengurusan dan kawalan pas bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Pada Sabtu, isu penjualan pas Perdana Suite yang didakwa palsu pada harga RM250 di pintu masuk litar tular di media sosial selepas beberapa hantaran mendedahkan kegiatan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.