BWI RM1,000 disalur terus di PPS

Gambar Hiasan /RTM

BAGAN DATUK, 1 November – Kerajaan meneruskan pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat banjir ketika musim tengkujuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan disalurkan terus ketika penduduk berada di PPS untuk mempercepat proses penerimaan.
  • Kaedah baharu membolehkan wang digunakan selepas pulang untuk pembersihan dan menggantikan peralatan rosak.
  • Orang yang tidak berpindah ke PPS tidak layak menerima; penerima mesti benar-benar berpindah untuk elak penyalahgunaan.
  • Persediaan Monsun Timur Laut ambil kira SPM; pelajar berisiko akan dipindahkan ke sekolah berasrama untuk memastikan peperiksaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan itu akan disalurkan ketika penduduk terjejas berada di PPS bagi mempercepatkan proses penerimaan bantuan.

Menurut beliau, kaedah baharu itu membolehkan penduduk menggunakan wang berkenaan sebaik pulang ke rumah, khususnya bagi kerja pembersihan dan menggantikan peralatan yang rosak akibat banjir.

“Sebelum ini, penerima perlu menunggu sehingga dua minggu dan pergi ke bank untuk mendapatkan bantuan tersebut. Namun, kini bantuan akan disalurkan secara terus kepada penerima.

“Bagaimanapun, mereka yang tidak berpindah ke PPS, walaupun nama tersenarai, tidak akan layak menerima bantuan berkenaan.

“Syarat utama pemberian bantuan ini adalah penerima mestilah benar-benar berpindah ke PPS bagi memastikan wang tersebut tidak diselewengkan atau disalurkan kepada pihak yang tidak layak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Deepavali 2026 di Bagan Datuk, Perak

Dalam perkembangan berkaitan, persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) turut mengambil kira pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pelajar di kawasan yang dijangka dilanda banjir besar akan dikenal pasti dan dipindahkan ke sekolah yang mempunyai kemudahan asrama bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan tanpa gangguan.

Lembaga Peperiksaan juga telah bersiap siaga bagi memastikan kelancaran pelaksanaan peperiksaan berkenaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum ini memaklumkan bahawa MTL dijangka bermula pada 27 Oktober lalu dan berterusan sehingga Mac 2027.

Sepanjang tempoh tersebut, MTL diramalkan membawa antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan, khususnya dari November hingga Januari, sekali gus meningkatkan risiko banjir terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.