Bangladesh tubuh lembaga semak gaji minimum

Foto AFP

DHAKA, 1 November -Bangladesh menubuhkan lembaga baharu bagi mengkaji semula kadar gaji minimum pekerja sektor tekstil, ketika pihak berkuasa berusaha meredakan demonstrasi yang mengganggu kawasan perindustrian utama di sekitar Dhaka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Demonstrasi pekerja berterusan, mencetuskan pertembungan dengan polis; gas pemedih mata dan bom bunyi digunakan untuk menyuraikan orang ramai.
  • Sektor tekstil tulang belakang ekonomi eksport, menggaji jutaan pekerja dan menyumbang sebahagian besar pendapatan eksport negara.
  • Lembaga kajian gaji dianggotai wakil kerajaan, pekerja dan pemilik kilang.
  • Kesatuan menuntut gaji melebihi 30,000 taka sebulan berbanding kira-kira 13,000 taka, kerana inflasi dan kos sara hidup meningkat.

Bagaimanapun, ribuan pekerja masih meneruskan demonstrasi pada Ahad, sehingga mencetuskan pertempuran dengan polis yang menggunakan gas pemedih mata dan bom bunyi untuk menyuraikan orang ramai.

Sektor tekstil merupakan tulang belakang ekonomi Bangladesh yang berorientasikan eksport, dengan menggaji jutaan pekerja serta menyumbang sebahagian besar pendapatan eksport negara itu.

Lembaga baharu berkenaan dianggotai wakil kerajaan, pekerja dan pemilik kilang.

Menteri Buruh, Ariful Haque Choudhury berkata, perbincangan mengenai isu itu telah berlangsung selama tiga hari bersama pemimpin kesatuan sekerja dan pemilik kilang.

Beliau turut menggesa pekerja kembali bertugas, sambil mendakwa terdapat pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan kerajaan dan menyusahkan rakyat dengan mengambil kesempatan terhadap pekerja.

Bagaimanapun, pemimpin kesatuan sekerja menegaskan tuntutan mereka bukan sekadar berkaitan penubuhan lembaga berkenaan, malah turut mengambil kira inflasi dan peningkatan kos sara hidup.

Menurut wakil Pusat Solidariti Pekerja Bangladesh, Kalpona Akhter, pekerja ketika ini menerima gaji kira-kira 13,000 taka atau 106 dolar Amerika sebulan.

Katanya, pekerja kini menuntut gaji melebihi 30,000 taka sebulan bagi menampung kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.

Ribuan kilang di seluruh Bangladesh menghasilkan pakaian seperti kemeja-T, seluar jeans dan baju sejuk untuk pasaran peruncit utama di Eropah serta Amerika Syarikat. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.