
KAJANG, 1 November – Penjaja dan peniaga kecil disifatkan sebagai wira rakyat yang bukan sahaja menjadi sumber rezeki jutaan keluarga, malah memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi negara.
- Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada KUSKOP untuk bantu persatuan penjaja dan peniaga kecil kebangsaan dan negeri.
- Keberkesanan bantuan dinilai dengan membandingkan purata pendapatan peniaga tiga tahun lalu dengan tahun ini untuk kenal pasti peningkatan.
- Kerajaan memberi tumpuan menjadikan gerai dan warung lebih bersih, teratur dan menarik bagi tingkatkan keselesaan pelanggan serta ekonomi setempat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan itu perlu terus dibantu dan diperkasa memandangkan sumbangan mereka jauh lebih besar daripada sekadar menjalankan perniagaan berskala kecil.
“Majoriti rakyat, 80 hingga 85 peratus, makan di gerai dan warung. Sebab itu sejak jadi Perdana Menteri, empat tahun ini, tiap minggu hari Jumaat, sebelum atau selepas solat Jumaat, saya pergi makan tengah hari di warung dan gerai nak tunjuk bahawa bagus kita sokong gerai dan peniaga-peniaga.
“Dia bukan syarikat besar, dia bukan Datuk atau Tan Sri. Tapi dia wira rakyat. Dia boleh membantu angkat ekonomi rakyat, dia jaga keluarga dia dan dia boleh jana ekonomi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Karnival Hari Penaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di Pentas Utama, Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Dataran MPKj, Stadium Kajang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar mengumumkan penyaluran peruntukan RM1 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk diselaraskan bagi membantu persatuan penjaja dan peniaga kecil di peringkat kebangsaan serta negeri.
Beliau berkata, keberkesanan bantuan kerajaan juga perlu dinilai berdasarkan peningkatan pendapatan peniaga, termasuk perbandingan purata pendapatan mereka dalam tempoh tiga tahun lalu dengan tahun ini.
Beliau meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong bekerjasama dengan persatuan berkaitan bagi mengenal pasti tahap peningkatan pendapatan serta kelemahan yang masih perlu ditangani.
“Mungkin Steven Sim (Menteri KUSKOP) boleh kerjasama dengan persatuan. Saya nak tahu berapa banyak. Ambil purata pendapatan peniaga tiga tahun lalu dengan tahun ini. Berapa peningkatannya? Ini cara kita buat penilaian. Apa kelemahan dia, apa kekurangan dia.
“Kerana bagi saya, kalau kita dapat bantu peniaga dan peniaga kecil ini, dia akan bantu satu juta keluarga dalam negara kita,” katanya.
Kerajaan turut memberi perhatian kepada usaha memastikan gerai dan warung di seluruh negara lebih bersih, teratur serta menarik bagi meningkatkan keselesaan pelanggan dan imej sektor penjaja.
Usaha berkenaan bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup peniaga kecil, malah turut merancakkan aktiviti ekonomi setempat.