
PELABUHAN KLANG, 30 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dengan kerjasama Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) menahan dua bot penumpang yang beroperasi tanpa dokumen sah dalam Op JALMAR Siri 3 di perairan Pelabuhan Klang, hari ini.
- Operasi bersepadu tiga hari melibatkan 30 pegawai dan beberapa bot bagi pemeriksaan dan penguatkuasaan.
- Pengusaha gagal mengemukakan dokumen sah mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, sehingga tindakan diambil.
- Fokus membanteras pemindahan muatan antara kapal, bunkering tanpa lesen, pengangkutan pasir haram; orang ramai diminta lapor kecemasan atau jenayah di laut ke 999.
Operasi bersepadu selama tiga hari bermula 27 Oktober lalu itu melibatkan kekuatan seramai 30 pegawai dan anggota daripada kedua-dua agensi melibatkan dua bot Maritim Malaysia serta sebuah bot JLWT.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan kedua-dua bot penumpang berkenaan dibuat selepas pemeriksaan mendapati pengusaha bot gagal mengemukakan dokumen yang sah mengikut peruntukan bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952).
“Operasi khas ini bermatlamat meningkatkan tahap keselamatan pelayaran serta memastikan setiap pengusaha bot mematuhi syarat pelesenan dan keperluan kelengkapan keselamatan yang ditetapkan, khususnya bagi perkhidmatan bot penumpang.
“Selain itu, fokus turut diberikan bagi membanteras aktiviti perkapalan haram seperti pemindahan muatan antara kapal (ship-to-ship), pengisian bahan bakar (bunkering) tanpa lesen, pengoperasian kapal pengangkut pasir secara tidak sah serta pencerobohan kapal yang bersauh tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak Maritim Malaysia menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan jenayah atau kecemasan di laut agar segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan pantas.