
LANGKAWI, 30 Oktober – Kecekapan dan kesiapsiagaan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sekali lagi dimanfaatkan dalam misi kemanusiaan apabila membantu memindahkan seorang pesakit kritikal dari Langkawi ke Kuala Perlis, awal pagi tadi.
- Pesakit lelaki 63 tahun perlukan rawatan neurosurgeri di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
- Pemindahan dilaksanakan susulan permohonan kecemasan daripada Jabatan Surgikal Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.
- Kekangan perkhidmatan feri awam waktu malam menyebabkan aset Maritim diperlukan untuk pemindahan selamat.
- Bot Penggalang Dua digerakkan, pesakit diiringi empat petugas perubatan dan seorang ahli keluarga diserahkan kepada ambulans KKM untuk rawatan lanjut.
Bantuan itu bagi membolehkan pesakit lelaki berusia 63 tahun berkenaan mendapatkan rawatan kepakaran neurosurgeri segera di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Timbalan Pengarah OperasiMaritim Negeri Kedah Perlis, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob menerusi kenyataan memaklumkan, misi pemindahan dilaksanakan susulan permohonan kecemasan daripada Jabatan Surgikal Hospital Sultanah Maliha, Langkawi pada 29 Oktober, berikutan keadaan pesakit yang kritikal.
“Kekangan perkhidmatan feri awam pada waktu malam menyebabkan penggunaan aset Maritim Malaysia diperlukan bagi memastikan pesakit dapat dipindahkan dengan selamat.
“Bot Penggalang Duadigerakkan pada pukul 12.01 tengah malam dari Jeti Maritim Langkawi dan tiba di Jeti Feri Kuala Perlis pada pukul 1.10 pagi.
“Pesakit yang diiringi empat petugas perubatan serta seorang ahli keluarga kemudian diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah bagi rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Maritim Malaysia menegaskan kesiapsiagaan aset dan anggotanya akan terus dipertingkatkan bagi memastikan bantuan kecemasan dapat disalurkan dengan berkesan, khususnya kepada penduduk pulau yang berhadapan kekangan akses pengangkutan.