
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Pemenang kategori Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) bakal menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta bagi menyokong penerbitan karya seterusnya serta meningkatkan mutu filem tempatan.
- FINAS menggalakkan penghasilan karya berkualiti bagi memperkukuh industri perfileman negara.
- Perbincangan delegasi kementerian ke Jakarta meneroka kerjasama Malaysia dan negara serantau bagi memperluas pasaran filem tempatan.
- FFM35 mengiktiraf sumbangan penggiat filem; malam kemuncak bertemakan "Spektrum Sinema" pada 21 November di Istana Budaya, disiarkan di TV2.
Inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu bertujuan merangsang penghasilan karya berkualiti tinggi, sekali gus memperkukuh industri perfileman negara.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, peruntukan itu diharap menjadi pemangkin kepada penerbitan lebih banyak filem bermutu pada masa hadapan.
“Untuk tahun ni juga, FFM bagi pemenang filem terbaik akan menerima dana daripada Kementerian komunikasi iaitu sebanyak RM1 juta. Sinilah di mana pemenang tersebut akan boleh meneruskan karya untuk karya seterusnya, untuk menghasilkan lagi filem yang lebih bermutu,” katanya ketika menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, FINAS turut meneroka peluang kerjasama dengan Indonesia dan negara serantau bagi memperluas pasaran filem tempatan di peringkat ASEAN.
Perkara itu antara yang dibincangkan dalam lawatan delegasi Kementerian Komunikasi ke Jakarta baru-baru ini, termasuk usaha memperkukuh kerjasama industri perfileman antara negara.
“Minggu lalu saya bersama-sama Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan delegasi kementerian ke Jakarta. Antara perkara yang dibincangkan ialah kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan negara-negara serantau dalam memperluas pasaran filem tempatan ke negara-negara berkenaan,” katanya lagi.
Sementara itu, FFM35 turut menjadi platform mengiktiraf sumbangan penggiat industri perfileman, termasuk pelakon dan tenaga kerja di belakang tabir, selain mendekatkan industri dengan penonton.
Malam kemuncak FFM35 bertemakan “Spektrum Sinema” dijadual berlangsung pada 21 November ini di Istana Budaya dan akan disiarkan secara langsung menerusi TV2.