
KIEV, 28 Oktober – Gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat antara Ukraine dan Rusia di bandar Oleshky dilaporkan bertahan tanpa sebarang pelanggaran pada Selasa, sekali gus membuka laluan kepada misi bantuan kemanusiaan dan pemindahan penduduk.
- Kedua-dua pihak menyatakan mereka mula mematuhi gencatan senjata pada jam 3.00 pagi waktu tempatan.
- Penduduk yang masih bertahan menghadapi kebuluran, kehabisan ubat-ubatan dan sukar untuk keluar, kata Olga.
- Pegawai awam Rusia dan Ukraine akan melawat rumah untuk menilai bantuan; penduduk yang berpindah akan menerima sokongan dan pengangkutan.
Kedua-dua pihak menyatakan mereka mula mematuhi gencatan senjata tersebut pada jam 3.00 pagi waktu tempatan.
Seorang penduduk dikenali Olga memberitahu AFP bahawa mereka yang masih bertahan di bandar tersebut menghadapi krisis kebuluran, kehabisan ubat-ubatan serta sukar untuk keluar.
“Peluang untuk pemindahan keluar dari Oleshky adalah berita yang sangat baik untuk saya dan penduduk yang terperangkap di sana.
“Rakan-rakan saya sudah bersedia untuk berpindah,” kata Olga yang telah berpindah dari kawasan tersebut.
Terdahulu, ketika mengumumkan gencatan senjata berkenaan Jumaat lalu, Wanita Pertama Amerika Syarikat, Melania Trump berkata pegawai awam dari Rusia dan Ukraine akan melawat penduduk di rumah masing-masing bagi menentukan tahap bantuan yang diperlukan.
“Penduduk yang berhasrat untuk berpindah akan menerima sokongan tersusun dan pengangkutan ke destinasi pilihan mereka.
“Saya menjangkakan sebahagiannya mahu pergi ke Rusia, dan sebahagian lagi ke Ukraine,” katanya.