
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kerajaan MADANI terus memperkasa sokongan kepada komuniti India menerusi Belanjawan 2027, termasuk penyediaan bantuan pembiayaan kepada usahawan kecil serta peningkatan peruntukan bagi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
- Bantuan pembiayaan RM150 juta melalui AIM dan TEKUN untuk membantu usahawan kecil membeli peralatan dan melancarkan operasi perniagaan.
- Peruntukan MITRA ditingkatkan kepada RM150 juta bagi memperkukuh pembangunan sosioekonomi komuniti India.
- Kerajaan galakkan pemahaman masyarakat dan jawatankuasa kuil tentang bantuan termasuk STR, SARA dan baik pulih sekolah Tamil.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebanyak RM150 juta disediakan menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional bagi membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan masing-masing.
Menurutnya, bantuan pembiayaan itu boleh dimanfaatkan untuk membeli peralatan serta melancarkan operasi perniagaan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Dalam pada itu, peruntukan kepada MITRA turut ditingkatkan kepada RM150 juta bagi memperkukuh pembangunan sosioekonomi komuniti India di negara ini.
“Jadi, insya-Allah, banyak usaha dan ikhtiar Kerajaan MADANI ini dapat dinikmati oleh rakyat. Cuma, Perdana Menteri meminta, khususnya kepada ahli-ahli Parlimen, supaya memastikan komuniti mengetahui dan memahami bahawa mereka turut menerima pelbagai manfaat daripada inisiatif kerajaan ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Serahan Bantuan Deepavali Sentosa di sini, malam ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, isu akses kepada geran dan bantuan MITRA yang dibangkitkan masyarakat akan disampaikan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, yang bertanggungjawab terhadap unit berkenaan.
Datuk Seri Fahmi berkata, komuniti India turut menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif kerajaan lain, termasuk bantuan membaik pulih sekolah jenis kebangsaan Tamil serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi penerima yang layak.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memastikan masyarakat, termasuk jawatankuasa kuil, mengetahui dan memahami pelbagai bentuk bantuan yang disediakan kerajaan supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh golongan sasaran.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 1,600 penerima di Parlimen Lembah Pantai menerima baucar bantuan sempena Deepavali bagi membantu meringankan beban kos sara hidup menjelang perayaan itu.
“Saya harap ini akan dapat bantu untuk mereka bersiap sedia dan meraikan, merayakan sambutan Deepavali dalam suasana yang ceria dan mungkin sedikit tekanan kos sara hidup membeli barang-barang keperluan, ini dapat kita bantu,” katanya.